Tapak pelupusan sampah Pulau Burung terbakar lagi

Pasukan bomba dan penyelamat sedang giat melakukan kerja-kerja memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah di Jalan Pulau Burung, Nibong Tebal.
Pasukan bomba dan penyelamat sedang giat melakukan kerja-kerja memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah di Jalan Pulau Burung, Nibong Tebal.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Tapak pelupusan sampah di Jalan Pulau Burung di sini dilaporkan terbakar pada petang Ahad.

Difahamkan, pasukan bomba dan penyelamat dibantu pasukan bomba sukarela serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sedang giat melakukan kerja-kerja memadamkan kebakaran.

Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, satu kenyataan berhubung kejadian itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Tapak pelupusan sampah itu pernah terbakar pada Januari 2022 membabitkan kawasan seluas lebih 8,000 meter persegi.

Berikutan itu, tapak pelupusan sampah Pulau Burung diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas kawasan kebakaran di situ mencemari kawasan sekitar dan berisiko terhadap kesihatan.

Akibat kejadian itu juga, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah bagi memindahkan penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru di sini yang berdepan masalah pencemaran udara.

Dilaporkan kira-kira 400 penduduk yang tinggal berhampiran tapak pelupusan sampah Pulau Burung dipindahkan ke dua PPS berkenaan selain ada menumpang di rumah ahli keluarga mereka.

Artikel Berkaitan:

Kebakaran di tapak pelupusan sampah itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 31 Januari selepas 20 hari terbakar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!