'Khilaf ada di mana-mana, saya minta maaf’- Aiman Athirah

Aiman Athirah ketika berucap merasmikan program Libat Urus Kasih Komuniti@Sepang bersama pimpinan Komuniti di Cyberjaya pada Ahad.
Aiman Athirah ketika berucap merasmikan program Libat Urus Kasih Komuniti@Sepang bersama pimpinan Komuniti di Cyberjaya pada Ahad.
A
A
A

SEPANG - "Kalau ada yang sensitif dengan gambar saya pegang replika cek berlogo arak itu, saya minta maaf," kata Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu juga turut mengakui sebagai pemimpin beliau tidak boleh menghalang hak kaum lain.

“Namun saya percaya ramai yang akan faham situasi ini dan tidak akan termakan fitnah yang disebarkan.

“Khilaf ada di mana-mana, apapun kepada pihak yang tersinggung saya minta maaf sekali lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program Libat Urus Kasih Komuniti@Sepang bersama pimpinan Komuniti di Cyberjaya dekat sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Aiman Athirah turut memaklumkan sudah mengenal pasti pihak yang sengaja menyebarkan fitnah dengan meletakkan logo Parti Amanah dengan tin jenama arak terbabit.

“Mengeluarkan gambar tin arak dengan logo Parti Amanah adalah tindakan jahat dan terdesak. Berpolitik lah secara matang.

“Saya yakin fitnah ini disebarkan oleh ahli bekas parti saya. Saya berpesan kepada adik-adik saya di dalam Pas, termasuk Ketua Pemuda Pas Selangor, janganlah ambil maklumat separuh masak.

Artikel Berkaitan:

“Islam mengajar kita untuk tabayun, kalau perkara itu diadun, diedit dan buat ancaman, itu tak baik,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Wanita Amanah mengakui masih boleh bertolak ansur sekiranya pihak terbabit menurunkan semula posting fitnah yang dimuat naik.

“Kalau saya dah buka saman, saya tidak akan undur dan kawan-kawan yang buat fitnah ini tak banyak duit pun, jangan buang masa buat kerja-kerja pelik.

“Sebab yang difitnah bukan saya, tetapi ia juga melibatkan parti. Kalau nak teruskan juga saya akan minta parti untuk teliti perkara ini untuk di bawa ke mahkamah,” katanya.

Jelasnya, Pusat Khidmat Masyarakat Sepang juga telah membuat laporan polis terhadap dua akaun Facebook iaitu Md Nor Azam Yusof dan Sabri Mamat.

Dalam posting, Md Nor Azam Yusof memaparkan gambar Aiman Athirah dan minuman keras dengan kapsyen 'biasa lah anak kelahiran roket'.

Sementara itu, akaun Facebook Sabri Mamat telah memuat naik satu kenyataan Ahli Parlimen Sepang itu yang diletakkan bersebelahan dengan gambar tin minuman keras.

Jumaat lalu, Aiman Athirah dilaporkan telah memberi penjelasan mengenai kehadirannya pada satu majlis kutipan dana sekolah di Sepang.

Katanya, sebagai tetamu yang diundang beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!