Suasana hiba sambut ketibaan jenazah Mohd Rais
Jenazah Mohd Rais yang tiba di MASkargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sekitar jam 2 petang itu disambut ahli keluarga, kenalan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan sebelum diiring ke Kota Belud untuk urusan pengebumian.
Faridah yang memakai pakaian serba hitam sebelum itu hanya berada di dalam sebuah kereta dilihat tidak berdaya sehingga terpaksa dipapah keluar untuk melihat keranda anaknya yang baru keluar dari MASKargo.
Dalam keadaan lemah, Faridah cuba menggapai dan memegang keranda anak bongsunya sambil ditenangkan ahli keluarga manakala anak keduanya, Mohd Shahzehanudin, 26, menadah tangan berdoa sebelum keranda dimasukkan ke dalam van jenazah.
Suasana juga turut diselubungi hiba ketika urusan memindahkan jenazah ke dalam van dilakukan oleh ahli keluarga yang hadir.
Sementara itu, rakan baik Allahyarham, Elvis Lu, 23, menyifatkan Mohd Rais yang dikenali sejak Tingkatan Satu merupakan seorang yang baik hati dan suka bergurau.
"Dia akan buat orang lain gembira dan suka bergurau dengan rakan-rakan. Bila kami bersama-sama, dia bukanlah seorang yang pendiam tetapi jenis ekstrovert.
"Tetapi apabila mendengar berita ini, saya sangat sedih. Walhal baru saja kami berhubung kira-kira dua minggu lalu dan kali terakhir kami berjumpa tiga bulan lalu sebelum dia berpindah ke Kota Kinabalu," katanya.
Katanya lagi, Allahyarham sendiri yang memaklumkannya bahawa dia berada di Korea Selata melalui panggilan video menerusi WhatsApp.
"Tiada apa-apa petanda yang dia akan 'pergi' sepanjang perbualan kami. Dia hanya menceritakan tentang kehidupannya di Korea. Kami pun tak sangka akan berlaku sesuatu di sana," katanya.
Sebelum itu, difahamkan jenazah Mohd Rais akan disembahyangkan di Masjid Nurul Hikmah di Kampung Liang sebelum dikebumikan di tanah perkuburan kampung tersebut.
Mohd Rais dilaporkan meninggal dunia di rumah yang didiaminya di Bandar Gumi, Wilayah Gyeongsang, Korea Selatan pada Ahad lalu.
Usaha membawa jenazah pulang memerlukan kos yang besar menyebabkan ahli keluarga terpaksa mengumpul dana untuk tujuan urusan penghantaran ke Sabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!