Kedai Jajan Nims kembalikan nostalgia lama
SHAH ALAM - Penaja bersama Karnival Rakyat Karangkraf 2024, Nims Adeliciousz Sdn Bhd (Nims) akan membawa konsep Kedai Jajan Nims untuk mengembalikan nostalgia zaman dahulu kepada pengunjung karnival tersebut.
Karnival tersebut akan diadakan selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Julai ini di pekarangan Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Norhanim Tengku Othman berkata, konsep yang diperkenalkan itu selari dengan tema karnival berkenaan yang mengetengahkan tradisional dan kerakyatan.
“Kedai Jajan Nims akan dihiasi dengan dekorasi yang dipenuhi barangan tahun 1980-an dan 1990-an seperti biskut dalam tin, aiskrim Malaysia pelbagai perisa, dan pelbagai jajan pastinya akan mengembalikan nostalgia pengunjung kepada zaman tersebut. Kami juga akan menganjurkan beberapa aktiviti lain yang ada di kedai pada waktu itu.
“Kita juga akan menganjurkan cabutan bertuah dan pengunjung berpeluang memenangi hadiah sebuah motor dan pelbagai hadiah menarik bernilai RM10,000.
Mereka hanya perlu membeli produk Nims serendah RM30 sahaja dan berpeluang mendapat tiket untuk sertai acara berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Tengku Norhanim berkata, selain cabutan bertuah dan jualan makanan masyarakat zaman dahulu, pihaknya juga turut menawarkan diskaun dan permainan Tikam-tikam kepada pelanggan.
“Pelanggan yang membeli produk Nims walaupun serendah RM3 melayakkan mereka untuk bermain permainan-permainan yang dinamakan Tikam-tikam, 10 Tin, Telur Kejutan, Tuju Belon, dan Roda Rakyat. Hadiah akan diberikan berdasarkan nombor yang mereka dapat,” katanya.
Jualan hebat
Menurut Tengku Norhanim, Nims juga akan mengadakan promosi jualan hebat iaitu dengan pembelian dua Tub Crispy Choco Tub, pelanggan akan mendapat satu Tub percuma pada harga RM30 sahaja.
“Produk kami memang mampu milik, promosi ini bermula serendah RM3. Selain dari itu, penggemar Nims boleh sertai kempen Kumpul & Tebus, dimana mereka perlu membawa tiga penutup Nims Crispy Choco Tub ke Kedai Jajan Nims di Karnival Rakyat Karangkraf dan berpeluang mendapat diskaun RM3,” ujarnya.
Menurutnya, pengunjung juga boleh mempamerkan kreativiti masing-masing dengan memuat naik video bersama produk Nims di TikTok dan ‘tag’ @nimsofficial bagi mendapatkan hadiah istimewa.
Mengulas lanjut beliau memaklumkan, penglibatan Nims dalam Karnival Rakyat Karangkraf 2024 bertujuan untuk berinteraksi lebih dekat dengan masyarakat dan sebagai platform yang strategik untuk memperkenalkan produk keluaran NIMS.
Tambahnya, program berkenaan memberi manfaat dan pengalaman baharu kepada generasi kini mengenai sejarah serta gaya hidup pada zaman dahulu.
“Orang ramai dijemput hadir ke Karnival Rakyat Karangkraf 2024 dan jangan lepaskan peluang untuk menyertai semua acara yang dianjurkan. Mereka perlu manfaatkan masa terluang bersama keluarga dengan melakukan aktiviti menarik.
“Datang ke reruai kami untuk mendapatkan produk-produk Nims dan beberapa lagi jualan lain yang kami bawakan iaitu konsep Kedai Jajan Nims sama seperti zaman dahulu. Jumpa anda di sana,” ujarnya.
Penganjuran karnival berkenaan sempena ulang tahun ke-18 Sinar Harian meraikan keunikan warisan budaya Malaysia serta memberikan penghargaan kepada pembaca setia akhbar tersebut.
Karnival Rakyat Karangkraf 2024 bakal membawa kelainan dengan mengembalikan nostalgia zaman dahulu menerusi tema tradisional dan kerakyatan.
Antara aktiviti menarik yang disediakan ialah SinarPlus MakanFest, Fiesta Kucing Tomkraf, Jualan Rahmah, pertunjukan seni persembahan, permainan tradisional dan sukan kampung, riuh rewang, rumah hantu, hari kantin sekolah Sinar Bestari, demonstrasi badan unit beruniform serta cabutan bertuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!