PH sedia kerja keras bantu rampas DUN Nenggiri
GUA MUSANG - Jentera Pakatan Harapan (PH) sedia bekerja keras bagi membantu Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada pilihan raya kecil (PRK) 17 Ogos ini.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jentera parti akan duduk semeja dan bergerak seiring bersama BN untuk memastikan kemenangan menjadi milik gabungan itu.
"Gerak kerja bersama itu melambangkan penyatuan dan perpaduan utuh gabungan PH dan BN.
"Alhamdulillah hari ini kita lancarkan jentera pilihan raya Parti Amanah Negara (Amanah). Melihat kepada komitmen, saya yakin BN mampu merampas semula kerusi Nenggiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran jentera PRK Nenggiri di Pejabat Amanah Kawasan Gua Musang di sini pada Ahad.
Menurut beliau, pelancaran awal jentera itu bagi membolehkan gerak kerja disusun dengan lebih kemas dan mantap.
Ujarnya, beliau mahu jentera PH dan BN turun ke Nenggiri dengan lebih tersusun dalam membantu kerja-kerja berkempen untuk calon.
Pada PRK Nenggiri, BN menamakan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!