Mapim lancar bantuan taja keluarga Palestin di Gaza
ALOR SETAR - Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) melancarkan misi bantuan bagi menaja keluarga Palestin yang menjadi sasaran genosid Israel.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, misi tersebut dilakukan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), MyChild International dan Nur Islam.
“Rakyat Malaysia berpeluang membantu keluarga di Gaza, dengan salurkan wang tunai untuk mereka dapatkan keperluan seperti perbelanjaan makanan, rawatan, pakaian dan barangan harian.
“Mereka hanya berteduh di khemah atau runtuhan bangunan tanpa sebarang akses kepada bantuan makanan,” katanya selepas melancarkan kempen ‘Bina semula Gaza: Home Support Family 2024’ di sini pada Ahad.
Mohd Azmi berkata, untuk fasa pertama, sebanyak 33 keluarga di Gaza ditaja RM500 sebulan selama setahun oleh keluarga di Malaysia atas inisiatif Mapim bersama MyChild International dan Nur Islam
“Saya harap lebih ramai NGO, syarikat korporat, agensi kerajaan atau individu tampil menjayakan projek keluarga angkat Gaza-Malaysia ini kerana ratusan ribu keluarga di Gaza memerlukan bantuan.
“Lebih 300,000 rumah musnah dibom oleh Israel menyebabkan 1.7 juta warga Gaza menjadi pelarian,” ujarnya.
Mohd Azmi berharap inisiatif keluarga angkat Gaza ini mencapai sasaran 50 keluarga menjelang akhir tahun ini.
“Kempen ini istimewa menghubungkan keluarga Gaza dengan keluarga Malaysia. Kita mahu gabungkan sebanyak mungkin NGO untuk jayakan projek yang kini disertai 10 NGO di Kedah dan tiga di Pulau Pinang.
“Sasaran kita dapatkan 100 NGO selepas diperluaskan ke setiap negeri. Malah Indonesia dan Thailand turut menunjukkan minat untuk lancarkan program seumpama di negara berkenaan,” jelasnya.
Tambah Mohd Azmi, inisiatif lain termasuk mengadakan klinik bergerak kanak-kanak, mengedarkan pakaian sejuk kepada 1,000 orang, edar bateri kepada 500 keluarga serta menyokong 300 Halaqah Quran untuk kanak-kanak di kem pelarian Gaza.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!