Insentif lebih RM100,000 hargai 226 pelajar cemerlang SPM Parlimen Sungai Buloh
SHAH ALAM - Peruntukan berjumlah RM100,250 disediakan sebagai insentif bantuan kepada 226 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Parlimen Sungai Buloh sebagai usaha menghargai prestasi mereka.
Usaha tersebut dilaksanakan Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Sungai Buloh bagi membantu meningkatkan akademik serta memotivasikan pelajar untuk lebih berjaya pada masa akan datang.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, beliau sangat menghargai sokongan padu dan tidak berbelah bahagi yang diberikan oleh YBR dalam meningkatkan tahap pendidikan pelajar terutama di Parlimen Sungai Buloh.
"Saya amat berharap usaha murni sebegini akan dapat diteruskan lagi di seluruh negara sekali gus membantu meningkatkan mutu pendidikan negara ke arah peringkat seterusnya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh menyempurnakan penyerahan anugerah kepada pelajar-pelajar terlibat.
Majlis turut dihadiri Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Zamri Salleh dan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.
Sementara itu, Philip berkata, bantuan insentif diharapkan menjadi pemangkin untuk terus berjaya dalam pendidikan serta menguatkan semangat untuk terus mengekalkan momentum mencapai keputusan cemerlang dan secara tidak langsung meningkatkan modal insan negara.
"Inisiatif hari ini bukti bahawa pihak YBR bukan sahaja menghulurkan bantuan malah kami juga turut memberi pengiktirafan terhadap kejayaan yang dikecapi oleh para pelajar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!