Sukma Sarawak: Syarikat penerbangan diminta sedia pakej, harga berpatutan

Mohd Hairi
Mohd Hairi
A
A
A

JOHOR BAHRU – Syarikat-syarikat penerbangan diharap dapat menyediakan pakej atau harga yang berpatutan sempena temasya Sukan Malaysia (Sukma) XXI Sarawak 2024 yang dijadualkan berlangsung mulai 17 hingga 24 Ogos ini.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Md Shah berkata, perkara itu dilihat bersesuaian dengan penganjuran sukan dwi tahunan itu yang bakal menarik kunjungan jutaan pengunjung ke Bumi Kenyalang.

“Sempena penganjuran temasya Sukma kali ini, kita berharap syarikat-syarikat penerbangan 'direct' dapat mengambil pendekatan dengan menyediakan harga mampu milik bagi tiket-tiket penerbangan.

“Bukan untuk Johor sahaja tetapi juga kepada semua negeri agar masyarakat dapat ke Sarawak untuk melihat temasya sukan terbesar ini.

“Ia sekali gus menawarkan pakej pelancongan sukan yang secara tidak langsung turut memberikan indikasi ekonomi kepada Sarawak,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Amanat Exco Kepada Kontinjen Sukma Johor 2024 di Dewan Bankuet, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kemungkinan berlaku kenaikan harga bagi tambang penerbangan oleh syarikat-syarikat penerbangan sempena penganjuran Sukma XXI, Sarawak 2024.

Dalam pada itu, Mohd Hairi turut berharap agar tidak berlaku penangguhan penerbangan (flight delay) di sepanjang temasya Sukma kali ini.

“Jadi, itulah dua perkara yang saya minta, satu harga yang berbaloi bagi warga Semenanjung yang mahu ke Sarawak dan tidak berlaku flight delay, kali ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!