Kanak-kanak lelaki cedera disyaki didera ibu tiri

Mangsa didera ibu tirinya dengan cara dibawa ke dalam bilik air dan dihentakkan kepala ke dinding serta disepak di kedua-dua belah tangan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Rosdi)
Mangsa didera ibu tirinya dengan cara dibawa ke dalam bilik air dan dihentakkan kepala ke dinding serta disepak di kedua-dua belah tangan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Rosdi)
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun cedera dan lebam bahagian kepala, lengan serta mata dipercayai akibat didera ibu tirinya di Kok Lanas dekat sini pada 10 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa didera oleh wanita berusia 37 tahun itu dengan cara dibawa ke dalam bilik air dan dihentakkan kepala ke dinding serta disepak di kedua-dua belah tangan.

“Mangsa juga dikurung di dalam tandas sehingga keesokan hari tanpa diberi makan dan minum serta berlarutan sehingga 12 Julai lalu.

“Polis menerima laporan yang dibuat pada 18 Julai lalu oleh bapa kandung mangsa sendiri juga seorang penjawat awam yang berusia 30-an,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, kejadian dera itu disedari pengadu selepas pulang dari tempat kerja pada jam 3 petang, 12 Julai lalu.

Katanya, semasa kejadian itu bapa mangsa tiada di rumah kerana urusan kerja di Kuala Lumpur.

“Ketika pulang, pengadu mendapati anak sulungnya itu mengalami kecederaan lebam pada bahagian kepala, lengan dan mata, setelah ditanya, mangsa menyatakan dipukul oleh ibu tirinya.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati mangsa juga ialah seorang pelajar di sebuah sekolah di Kok Lanas,“ ujar.

Artikel Berkaitan:

Justeru itu, Mohd Rosdi berkata, suspek ditahan pada Sabtu bagi membantu siasatan.

“Suspek kini ditahan reman selama tiga hari sehingga Selasa ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan masih di peringkat siasatan.

“Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Tambahnya, pengadu berkahwin dengan suspek sejak Ogos tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!