Polis kesan pemandu MPV terlibat insiden langgar lari

Lokasi kemalangan. - foto IPD Johor Bahru Selatan.
Lokasi kemalangan. - foto IPD Johor Bahru Selatan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis mengesan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terlibat dalam insiden langgar lari hingga menyebabkan kematian seorang pejalan kaki di kilometer (KM) 0.5 Lebuh raya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (EDL), pada awal pagi Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 4.30 pagi, apabila mangsa yang berada di sebelah kiri jalan menghala ke pusat bandaraya, telah dilanggar oleh MPV jenis Perodua Alza berwarna merah.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, pemandu Perodua Alza tersebut tidak berhenti dan telah melarikan diri selepas kemalangan berlaku.

“Sehubungan itu, usaha mengesan pemandu tersebut giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Polis mohon saksi awam yang menyaksikan kejadian agar tampil ke balai trafik Johor Bahru Selatan bagi memberikan keterangan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nur Fatihah Ismail di talian, 010-4171762.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!