Johnathan tekad ke pentas final di Paris 2024
PENEMBAK negara Johnathan Wong Guanjie berazam melangkah ke pentas final acara 10 meter (m) air pistol pada penampilan keduanya di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 yang membuka tirai secara rasmi Sabtu.
Anak kelahiran Ujong Pasir, Melaka itu berkata, dalam usaha merealisasi impian tersebut beliau perlu memastikan setiap bidikannnya tepat mengenai sasaran sekali gus mengutip lebih daripada 579 mata yang berkemungkinan membuka laluan ke persaingan merebut pingat acara itu.
"Secara peribadi saya sasar untuk mengatasi catatan terbaik semusim 579 mata yang dicatat pada kejohanan terbuka menembak di Denmark.
"Kita akan tengok nanti sebab tak boleh jangka dan saya akan cuba guna apa sahaja peluang yang ada meraih keputusan terbaik selain harap melangkah ke final dan mungkin untuk bersaing bagi pingat," katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Paris di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Ahad.
Pembidik berusia 31 tahun itu dalam masa sama mengakui persiapan akhirnya berjalan lancar dengan turut menjalankan analisis terhadap kemampuan penembak lain yang bakal bersaing di lapang sasar Pusat Menembak Kebangsaan Perancis di Chateauroux.
Pusingan kelayakan acara 10m air pistol lelaki akan berlangsung pada 27 Julai ini sebelum final pada keesokan harinya.
INFO
- Johnathan antara atlet Malaysia terawal layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menduduki tempat keempat acara 10m air pistol di Kejohanan Menembak Dunia di Chanhgwon, Korea Selatan pada Oktober 2023.
- Paris 2024 akan menjadi penampilan kedua atlet kelahiran Melaka itu selepas penampilan sulungnya di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016 yang berakhir di kedudukan ke-28 dalam acara 10m pistol dan ke-37 dalam acara 50m pistol.
- Sukan Olimpik Paris 2024 menyingkap tirai pada 26 Julai hingga 11 Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!