Lori terbalik, ammonium nitrat tumpah di jalan raya

Kerja pembersihan melibatkan bahan kimia jenis ammonium nitrat dilakukan oleh pasukan bomba di Jalan Nabawan-Kalabakan.
Kerja pembersihan melibatkan bahan kimia jenis ammonium nitrat dilakukan oleh pasukan bomba di Jalan Nabawan-Kalabakan.
A
A
A

TAWAU - Sebuah lori membawa muatan bahan kimia jenis ammonium nitrat terbalik dan menyebabkan berlakunya tumpahan di jalan raya dalam kejadian di Jalan Nabawan-Kalabakan di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, pemandu dan kelindan mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.05 petang berhubung kejadian itu.

Katanya, seramai lapan anggota bomba bersama lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 138 kilometer dari BBP Tawau.

"Pasukan bomba tiba pada jam 5.35 petang dan mendapati sebuah lori hino 10 tan membawa muatan serbuk ammonium nitrat telah terbalik dan berlaku tumpahan.

"Terdapat dua mangsa dalam kemalangan ini dan telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba namun, status kedua-dua mangsa tidak diketahui setakat ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Jemishin berkata, susulan kejadian itu pasukannya bertindak membersihkan tumpahan bahan kimia tersebut dengan menggunakan aliran air.

"Pasukan bomba menggunakan air dari tangki jentera untuk melakukan kerja pembersihan bahan kimia berbentuk serbuk itu di atas jalan raya.

Artikel Berkaitan:

"Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi segera ditamatkan pada jam 7.10 malam," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!