Kurangkan gula: Fomca gesa libatkan KKM, KPM

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: N Marimuthu)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: N Marimuthu)
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa kerajaan menjadikan kempen Kurang Gula, Kurang Harga sebagai satu agenda negara bagi memastikan objektifnya kali ini benar-benar tercapai.

Presidennya, Datuk Dr N Marimuthu berkata, ini kerana usaha kerajaan sejak 60 tahun lalu untuk mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat belum menjadi kenyataan sehingga sekarang.

“Sudah 60 tahun lalu kita cuba nak kurangkan gula tapi tak mampu. Jadi jangan syok sendiri. Nak buat kempen, ia kena menyeluruh dan dilakukan secara bersepadu oleh semua kementerian.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kena libatkan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM). Ia kena jadi agenda negara, bukan agenda KPDN semata-mata,” katanya kepada Sinar Harian.

Marimuthu menegaskan, kempen yang diadakan secara menyeluruh berkenaan akan dapat membantu menangani masalah pengambilan gula berlebihan yang menyebabkan berlakunya peningkatan kes kencing manis.

“Tujuan utama kita ialah mahu kesihatan rakyat terjamin dan rakyat amalkan budaya kurangkan manis dalam diet harian mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun, Marimuthu enggan mengulas lanjut berhubung penurunan harga yang akan diberikan peniaga terhadap pengurangan penggunaan gula dalam makanan dan minuman.

“Lazimnya di dunia ini mana ada harga (barang) turun, ia (pengurangan harga) mungkin susah nak berjaya sebab misalnya nak buat kuih bukan guna gula semata-mata, ada bahan lain lagi seperti minyak masak, tepung dan bawang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, KKM pernah menjalankan beberapa inisiatif bagi mendidik rakyat supaya mengurangkan pengambilan gula. Ini termasuk melalui Kempen Cara Hidup Sihat, bermula pada tahun 1991.

Pada tahun 1998, Kempen Kurangkan Gula telah dijalankan secara intensif dan diteruskan dari masa ke masa.

Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan melaksanakan kempen kurangkan gula berikutan Malaysia kini merekodkan bilangan penghidap diabetes paling tinggi di Asia.

Beliau berkata, laporan menyatakan Malaysia paling tinggi mempunyai penghidap kencing manis atau diabetes di Asia dan perkara berkaitan kesihatan bukan lagi peranan sepenuhnya Kementerian Kesihatan.

Sehubungan itu, Anwar mahu semua kementerian termasuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha supaya melaksanakan kempen kurangkan manisan gula.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!