Jaga standard kalau nak tarik pelancong berkualiti
LANGKAH kerajaan melakukan segmentasi sektor pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong berkualiti dan berpendapatan tinggi ke negara ini perlu dilihat dalam skop menyeluruh.
Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), segmentasi sektor pelancongan akan dibahagikan kepada pasaran sedia ada dan pasaran-pasaran baharu seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.
Apakah yang dimaksudkan dengan pelancong berkualiti? Sudah semestinya mereka yang berpendapatan tinggi dan mempunyai kuasa berbelanja yang besar, sekali gus melonjakkan ekonomi dan segmen perniagaan tempatan.
Dalam skop yang luas tadi pula bermaksud bukan pelancong saja perlu berkualiti tetapi sektor pelancongan negara itu sendiri yang merangkumi fasiliti, pengusaha, peniaga serta servis yang ditawarkan perlu setanding.
Kita pasti sering membandingkan mengapa pelawat Malaysia menyuntik sehingga RM4.6 bilion ke dalam ekonomi Thailand sepanjang tahun lalu. Ia membabitkan lebih 4 juta rakyat negara ini yang mengunjungi kawasan pelancongan di sana seperti Hatyai dan Phuket.
Apa yang istimewanya Thailand ini? Adakah disebabkan makanannya atau keindahan persekitarannya, sehinggakan konvoi motosikal pun berduyun-duyun melintasi sempadan saban minggu?
Tentunya yang tidak dapat kita nafikan adalah kualiti yang ada pada produk pelancongan di sana sehingga ada yang menjadikan ia sebagai lokasi ulangan setiap kali ingin bercuti sama ada bersendirian mahupun bersama keluarga.
Malaysia sebenarnya tidak kurang hebatnya. Segalanya ada di sini, namun mungkin tarikan dari segi khidmat pelanggan yang kurang memuaskan.
Bagaimana kita dapat memuaskan hati pelancong berkualiti ini jika rakyat tempatan sendiri masih melihat negara lain sebagai tempat yang dekat di hati.
Faktor lain seperti keramahan, harga serta nilai tambah perlu diambil kira, perlu diperhebatkan untuk menarik minat pelancong VM2026 yang disasarkan seramai 35.6 juta orang itu.
Perlu diingat, sektor pelancongan negara baru hendak pulih selepas pandemik Covid-19. Usaha merancakkannya perlu digerakkan semua pihak, bukan terletak pada bahu kerajaan semata-mata.
Jika kita gagal memantapkan industri pelancongan negara, pelancong berkualiti hanya akan datang ke negara kita sekadar untuk transit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!