Berhenti kerja demi MatSaleh Barber

Dari kiri: Ahmad Affiq, Faiz Hakim dan Nur Muhammad Sallehudin di hadapan salah satu cawangan MatSaleh Barber milik mereka.
Dari kiri: Ahmad Affiq, Faiz Hakim dan Nur Muhammad Sallehudin di hadapan salah satu cawangan MatSaleh Barber milik mereka.
A
A
A

GEORGE TOWN - Bermula dengan impian mahu mempunyai perniagaan sendiri, tiga anak muda berasal dari Pulau Pinang tekad memberi sepenuh perhatian kepada perniagaan menggunting rambut yang diusahakan sejak 2018.

Memulakan perniagaan tanpa sebarang pinjaman dari institusi kewangan, Ahmad Affiq Mohd, 34, Faiz Hakim Hassan, 35, dan Nur Muhammad Sallehudin Abdul Rahim, 33, membuka MatSaleh Barber di sebuah premis kecil di Tanjung Tokong di sini.

Menurut Ahmad Affiq, pada awal perniagaan, mereka hanya membuka khemah di pasar malam di Padang Kota.

Ahmad Affiq mempunyai kepakaran dalam menggunting dan penggayaan rambut.
Ahmad Affiq mempunyai kepakaran dalam menggunting dan penggayaan rambut.

"Selepas itu, barulah kami membuka kedai pertama, MatSaleh Barber di Tanjong Tokong dan ketika itu kami hanya ada dua pekerja.

"Sebenarnya kami bertiga ada kerja tetap tetapi sebab minat mahu membuka perniagaan sangat menebal menyebabkan kami memberanikan diri mengambil keputusan berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada MatSaleh Barber," katanya yang berperanan sebagai tukang gunting, Faiz Hakim menguruskan bahagian pemasaran, manakala Nur Muhammad menjaga bahagian akaun.

Tambahnya lagi, disebabkan kekurangan wang untuk membeli perhiasan dalaman premis, mereka mengambil barang dari rumah seperti televisyen dan kerusi untuk diletakkan di kedai.

Berkongsi kisah bagaimana boleh berminat dalam dunia gunting rambut, Ahmad Affiq berkata, minatnya timbul sejak di bangku sekolah dan dia mempelajari cara-cara menggunting rambut melalui aplikasi YouTube.

Artikel Berkaitan:

"Kebetulan pula rakan-rakan pun minat dalam perniagaan yang sama tetapi kewangan pula tak begitu kukuh, jadi kami buka kedai gunting rambut yang kecil dahulu.

"Wang yang ada waktu itu hanya cukup untuk beli peralatan menggunting rambut. Nak cantikkan kedai, saya ambil televisyen lama, kerusi dan meja dari rumah untuk diletakkan di kedai supaya tidaklah nampak kosong sangat," katanya.

Menurut bapa kepada dua anak itu lagi, selepas dua tahun mengusahakan perniagaan tersebut, mereka diuji dengan penularan wabak Covid-19.

Katanya, semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), MatSaleh Barber baru mempunyai empat cawangan tetapi perniagaan terpaksa dihentikan sementara.

"Kami mempunyai 20 pekerja ketika itu tetapi walaupun perniagaan tidak beroperasi, kami tak berhentikan mereka.

"Kami guna wang simpanan untuk bayar gaji pekerja dan semua bil. Selain itu, kami ambil inisiatif jual Roti John di hadapan kedai di Batu Lanchang ketika bulan Ramadan untuk menampung pendapatan.

Tiga anak muda kelahiran Pulau Pinang yang berjaya mengembangkan perniagaan mereka dalam bidang fesyen dan penggayaan rambut.
Tiga anak muda kelahiran Pulau Pinang yang berjaya mengembangkan perniagaan mereka dalam bidang fesyen dan penggayaan rambut.

"Alhamdulillah, perniagaan yang kami anggap sebagai sampingan itu mendapat sambutan tidak dijangka. Ketika itu bagi kami, apa sahaja yang boleh mendatangkan hasil, kami buat saja," katanya.

Ujar anak muda itu lagi, selepas mengharungi pahit getir dalam perniagaan, dia dan dua rakan baiknya itu kini mempunyai 11 cawangan MatSaleh Barber di Pulau Pinang dan Kedah.

Menurutnya, MatSaleh Barber di Pulau Pinang mempunyai 10 cawangan, antaranya di Farlim, Bayan Baru, Tanjung Tokong, Sungai Dua, Bayan Lepas dan Batu Lanchang.

"Kami sedang berusaha membuka satu cawangan di Laguna Merbok, Sungai Petani, Kedah. Jumlah keseluruhan pekerja MatSaleh Barber kini seramai 45 orang," jelasnya.

FOKUS KETELITIAN

Bercerita lanjut mengenai perkhidmatan yang ditawarkan, Ahmad Affiq berkata, perniagaan mereka fokus kepada ketelitian perkhidmatan pengguntingan dan penggayaan rambut.

"Penggayaan yang dimaksudkan ialah mengikuti peredaran fesyen masa kini. Seperti kedai gunting rambut yang lain, kami menyediakan perkhidmatan potongan rambut serendah RM20 untuk kanak-kanak dan RM30 bagi dewasa.

"Jika pelanggan mahu lebih istimewa, kami ada pakej seperti Swag iaitu gunting dan mencuci rambut dengan harga RM35, Gentleman (gunting dan cuci muka - RM45) dan Premium iaitu gunting, cuci muka dan cuci rambut pada harga RM50," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Ahmad Affiq berkata, MatSaleh Barber telah menjalankan program From Barber to Mr CEO bagi membantu lebih ramai anak muda menceburi bidang perniagaan menggunting rambut.

"Impian kami mahu membantu anak muda yang berminat dalam bidang ini, selain melahirkan ramai usahawan dalam bidang bidang fesyen dan penggayaan rambut, yang mencetuskan program From Barber to Mr CEO.

"Melalui program ini, pekerja yang bekerja dengan kami lebih empat tahun, mereka akan diserapkan ke bahagian pengurusan dan kemudian menguruskan kedai," katanya.

Jelasnya, pekerja tersebut berpeluang membuka cawangan baharu MatSaleh Barber dan akan menguruskan sendiri perniagaan itu berbekalkan pengalaman bekerja dengan pihaknya.

"Selain memberikan pengalaman bekerja, kami juga mewujudkan MatSaleh Academy bagi membekalkan ilmu untuk menguruskan perniagaan kepada mereka yang berminat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!