'Rakan jimat RM700, masih ada mekanik yang jujur'

Perkongsian Amal di aplikasi X turut meraih perhatian pengguna apabila memuji sikap Abang Wadie yang tidak mengambil kesempatan ke atas pelanggan.
Perkongsian Amal di aplikasi X turut meraih perhatian pengguna apabila memuji sikap Abang Wadie yang tidak mengambil kesempatan ke atas pelanggan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kos membaiki kenderaan sememangnya menjadi 'mimpi ngeri' kepada pemilik kerana perlu berhabis hingga ratusan ringgit hanya untuk bayaran bagi kerosakan kecil.

Malah ada juga perkongsian di media sosial mengenai kisah pelanggan ditipu mekanik atau pemilik bengkel yang mengambil kesempatan meletakkan harga tidak masuk akal untuk kerosakan kecil atau minimum.

Berbeza dengan perkongsian seorang pemuda yang mahu dikenali sebagai Amal apabila meluahkan rasa terharu dengan kejujuran pemilik sebuah bengkel kenderaan yang terletak di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

"Bercampur perasaan tengok mekanik kereta yang jujur buat kerja. Kawan saya datang bengkel (kerana) masalah absorber, pergi dua ke tiga bengkel suruh tukar satu set belakang.

"Jumpa mekanik ini, (hanya) tukar 'bush' harga berapa puluh ringgit sahaja, selesai. Pelanggan gembira (sebab) jimat RM700.

"Tayar kereta hampir botak, boleh guna duit tukar tayar dari tukar 'absorber'," kongsinya menerusi aplikasi X.

Menurut Amal, rakannya hanya perlu membayar RM122 bagi kos penukaran empat 'bush' dan dua penyekat berbanding RM700 yang diletakkan oleh bengkel terdahulu.

Walaupun rakannya berasa lega kerana tidak menjadi mangsa penipuan, namun timbul rasa bersalah apabila mengenangkan nasib mekanik yang dikenali sebagai Abang Wadie.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi fikir balik, mungkin mereka sanggup lepaskan jualan yang besar demi rezeki yang lebih berkat.

"Dapat bina kepercayaan orang, mungkin orang akan datang lagi jadi pelanggan tetap. Boleh jadi, ini teguran dan peringatan dari ALLAH untuk aku dalam hal cari rezeki," ujarnya.

Sebagai penghargaan kepada pemilik bengkel berkenaan, Amal turut mempromosikan bengkel berkenaan dan berkongsi nombor telefon Abang Wadie bagi memudahkan orang ramai menghubunginya jika perlukan perkhidmatan.

"Kalau anda berada di sekitar Kuala Lumpur atau Selangor dan ada masalah kereta, boleh WhatsApp pemilik bengkel.

"Pemeriksaan percuma dan kalau lepas semak ada masalah, dia akan terangkan satu persatu, berapa kos dan tak paksa baiki dengan dia," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!