Bank Rakyat perkenal akaun Simpanan-i Nuri Kids, Simpanan-i Nuri Teens

Mohd Irwan (tiga dari kiri) dan Mohammad Hanis (tiga dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan selepas selesai program Nuri Splash Fiesta yang diadakan pada Ahad.
Mohd Irwan (tiga dari kiri) dan Mohammad Hanis (tiga dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan selepas selesai program Nuri Splash Fiesta yang diadakan pada Ahad.
A
A
A

BANK Rakyat mengambil langkah inovatif memperkenalkan Akaun Simpanan-i Nuri Kids bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan Akaun Simpanan-i Nuri Teens untuk remaja berumur 12 hingga 18 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman berkata, menerusi platform digital Bank Rakyat Quick (BRICK), proses pembukaan akaun adalah lebih mudah dan pantas.

Menurutnya, dengan deposit pembukaan akaun serendah RM20, pelanggan boleh menikmati kadar keuntungan sehingga dua peratus setahun.

Jelasnya, sebanyak 39 rakan kolaborasi baharu seperti SplashMania @ Gamuda Cove, Pusat Tuisyen PTTI, Jumpstreet Malaysia, Selamatbercuti.com, Super Park dan Big Bounce Park turut menawarkan lebih manfaat kepada ahli kelab.

Mohd Irwan (tengah) dan Mohammad Hanis menunjukkan kad Debit-i Nuri dan kad keahlian Kelab Nuri yang kini berwajah baharu.
Mohd Irwan (tengah) dan Mohammad Hanis menunjukkan kad Debit-i Nuri dan kad keahlian Kelab Nuri yang kini berwajah baharu.

“Kita sasarkan sebanyak 25,000 pemegang Akaun Simpanan-i Nuri Kids dan Akaun Simpanan-i Nuri Teens menjelang akhir tahun ini.

“Mereka juga boleh menikmati keahlian Kelab Nuri secara automatik dan menikmati diskaun menarik yang ditawarkan oleh rakan kolaborasi Bank Rakyat termasuk diskaun serta tiket percuma.

“Setakat hari ini lebih 6,000 pemegang akaun telah berdaftar untuk menabung dengan kita,” katanya dalam Program Nuri Splash Fiesta di SplashMania, Gamuda Cove di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.

Mengulas lanjut, menurut Mohammad Hanis, kad Debit-i Nuri dan kad keahlian Kelab Nuri juga kini berwajah baharu dengan reka bentuk yang menarik.

Jelasnya, pemegang akaun boleh menggunakan mana-mana mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Rakyat atau ATM berlogo MEPS di seluruh negara.

Mohd Irwan (kiri) dan Mohammad Hanis (kanan) pada program Nuri Splash Fiesta yang diadakan pada Ahad.
Mohd Irwan (kiri) dan Mohammad Hanis (kanan) pada program Nuri Splash Fiesta yang diadakan pada Ahad.

Tambah beliau, pengenalan akaun baharu itu bukan sahaja memupuk semangat menyimpan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, tetapi mengajar pengurusan kewangan secara berhemah.

“Kad Debit-i Nuri boleh digunakan sebagai kad keahlian Kelab Nuri dan hanya diberikan kepada pelanggan berusia 12 sehingga 18 tahun.

“Ia boleh digunakan di mana-mana mesin ATM Bank Rakyat atau ATM berlogo MEPS di seluruh negara,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, ibu bapa perlu memanfaatkan peluang itu supaya anak-anak mereka dapat menikmati pelbagai ciri baharu dan faedah yang ditawarkan.

Dalam pada itu, menurutnya, menerusi inisiatif Jangkaun Komuniti, Bank Rakyat turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM4,775 untuk menampung kos perbelanjaan persekolahan seorang pelajar, Raees Hussein Mohd Zulhusni.

“Selain daripada itu, sumbangan sebanyak RM7,000 juga disalurkan bagi menampung kos pembelian alat bantu pendengaran Zya Filza Fauzi Abdul Fattah, 6, sebagai persediaan memasuki sekolah pada tahun hadapan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!