GPMS mohon kerajaan bawa pulang pelajar Malaysia dari Bangladesh

Lebih daripada 100 orang terkorban dalam protes itu sejak keganasan tercetus pada Selasa. Foto AFP
Lebih daripada 100 orang terkorban dalam protes itu sejak keganasan tercetus pada Selasa. Foto AFP
A
A
A

GEORGE TOWN - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bimbang dengan keselamatan pelajar Malaysia yang kini berada di Bangladesh.

Naib Presiden Siswa GPMS, Muhammad Danial Alimin berkata, kerajaan perlu berusaha untuk membawa pulang pelajar-pelajar Malaysia termasuk menyediakan penerbangan khas atau sebarang bentuk pengangkutan sesuai untuk memastikan mereka pulang ke negara dengan selamat.

Menurutnya, pelajar yang terkesan mungkin memerlukan bantuan logistik dan kewangan untuk kembali ke Malaysia.

Muhammad Danial
Muhammad Danial

"Dalam keadaan semasa yang tidak menentu dan mencabar, GPMS merasakan adalah wajar bagi kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar-pelajar kita.

"Kerajaan harus mempertimbangkan untuk menyediakan dana kecemasan atau sokongan kewangan lain bagi membantu mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, komunikasi yang jelas dan terperinci perlu diberikan kepada pelajar dan keluarga mereka mengenai langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan.

"Ini termasuk maklumat mengenai tarikh dan waktu pemindahan serta prosedur keselamatan yang perlu diikuti.

Artikel Berkaitan:

"GPMS juga memohon pihak Kedutaan Malaysia di Bangladesh memainkan peranan proaktif dalam mengurus dan memantau keadaan pelajar kita di sana. Bantuan dari pihak kedutaan adalah amat penting untuk memastikan proses pemindahan berjalan lancar," ujarnya.

Muhammad Danial berkata, keselamatan pelajar adalah tanggungjawab bersama dan menjadi kewajipan kerajaan untuk memastikan mereka dilindungi dalam situasi yang mencabar ini.

"GPMS berharap tindakan segera dapat diambil untuk mengatasi masalah ini dan memastikan pelajar-pelajar kita dapat pulang dengan selamat ke tanah air," tambah beliau.

Sebelum ini, media melaporkan beribu-ribu pelajar Bangladesh berdemonstrasi sejak Julai selepas mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan kerajaan yang dimansuhkan pada 2018

Susulan itu, negara berkenaan mengumumkan penutupan semua universiti awam dan swasta berikutan protes semakin memuncak minggu ini.

Pada Sabtu, menurut laporan Agensi Berita Jerman, kerajaan Bangladesh mengenakan perintah berkurung di seluruh negara dan mengerahkan tentera susulan pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis semasa protes pelajar.

Menteri Dalam Negerinya, Asaduzzaman Khan mengumumkan bahawa tentera akan dikerahkan di ibu kota Dhaka dan daerah-daerah lain.

Lebih daripada 100 orang terkorban dalam protes itu sejak keganasan tercetus pada Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!