Kejutan besar jika Klopp pilih England
PEMAIN Liverpool, Trent Alexander-Arnold tampil memberikan pandangan mengenai khabar angin yang mengaitkan Jurgen Klopp dengan jawatan kosong England selepas Gareth Southgate mengumumkan meletakkan jawatan.
Keputusan Southgate untuk meletak jawatan dibuat hanya beberapa hari selepas berakhirnya kejohanan Euro yang menyaksikan England terlepas peluang untuk memenangi piala selepas kekalahan 1-2 kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir.
Bagaimanapun, Alexander-Arnold yang juga pemain England percaya, ia akan menjadi kejutan besar jika Klopp mengambil alih tugas England selepas menamatkan tugasnya di Anfield baru-baru ini.
"Saya menikmati setiap saat saya bekerja dengannya. Kami berkongsi kenangan yang menakjubkan dan ikatan yang menakjubkan.
"Saya akan terkejut jika dia mengambil jawatan di England. Ia jelas apabila dia mengumumkan mahu tinggalkan England, dia benar-benar mahu bercuti dan ia akan menjadi satu kejutan besar sekiranya kembali mengendalikan pasukan," katanya.
Walaupun Klopp mungkin tidak membawa England meraih kemenangan pada kejohanan antarabangsa seterusnya, pemain Jerman itu telah menerima peranan baharu bersama bekas kelabnya iaitu menjadi duta kehormat pertama Yayasan LFC.
FA mengesahkan mereka akan mencari pengganti Southgate dengan segera untuk membimbing pasukan menjelangmenjelang Piala Dunia 2026.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!