Sanusi hantar representasi kedua, kes tangguh ke 27 September

Perbicaraan kes Sanusi (tengah) atas dua pertuduhan menghasut yang dijadualkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini ditangguhkan ke September depan.
Perbicaraan kes Sanusi (tengah) atas dua pertuduhan menghasut yang dijadualkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini ditangguhkan ke September depan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perbicaraan kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas dua kes menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan September depan.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan bagi pihak Sanusi, 50, telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada minggu lepas.

Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 27 September untuk pengurusan kes dan turut melapangkan tarikh perbicaraan 23, 29 dan 30 Julai, serta 5, 6, 9, 12, 13, dan 23 Ogos yang ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini.

Peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu berkata, pihaknya percaya AGC memerlukan masa untuk pertimbangkan representasi serta meneliti perkembangan baharu dalam kes terbabit.

“Jadi mahkamah bersetuju, saya mencadangkan penangguhan selama dua bulan, untuk pihak-pihak mendapatkan maklumat penuh dan mempertimbangkan permohonan tersebut.

“Saya mohon ditetapkan tarikh untuk pengurusan kes dalam masa dua bulan itu,” katanya.

Ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding selesai, Awang Armadajaya berkata, representasi berkenaan telah dihantar pada Rabu lepas.

Beliau berkata, ini merupakan representasi kedua anak guamnya bagi mengkaji pertuduhan termasuk menggugurkan kes yang dihadapi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud mengesahkan telah menerima representasi berkenaan, dua hari kemudian.

Menurutnya, pendakwaan juga memerlukan masa untuk meneliti dokumen yang dikemukakan tertuduh serta tidak membantah penangguhan prosiding berkenaan.

Selain Awang Armadajaya, pembelaan turut diwakili peguam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Mohd Tajuddin Abd Razak, Wan Rohimi Wan Daud, Mohd Radzlan Jalaluddin, Ahmad Lutfi Awang dan Mohd Faizi Che Abu.

Sementara pihak pendakwaan turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling, Nadia Mohd Izhar dan Abd Malik Ayob.

Untuk rekod, Sanusi mengemukakan representasi kedua selepas representasi pertama dikemukakan ahli politik Pas itu ditolak oleh AGC pada Mei lalu.

Pada 18 Julai 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Kedah itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari lepas untuk dibicarakan.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 1 Februari lalu, perbicaraan dua kes itu dipindahkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi di sini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!