Farm Fresh keluarkan produk baharu 'choco Malt'
Produk baharu ini pertama kali diperkenalkan secara eksklusif melalui jualan siaran langsung di saluran TikTok rasmi Farm Fresh pada 19 Julai lalu dan diperkenalkan sendiri oleh Pengarah Urusan Kumpulan Farm Fresh Berhad, Loi Tuan Ee dan Ketua Pegawai Operasinya, Azmi Zainal.
Menurut Azmi, 'Farm Fresh choco Malt' merupakan alternatif terbaharu untuk rakyat Malaysia yang sukakan coklat malt tetapi ingin mencari pengganti yang lebih sihat dan dikeluarkan oleh syarikat tempatan.
“Produk ini kami pastikan penuh rasa malt dan keenakan rasa coklat dan pada masa yang sama dikurangkan kandungan gula dan semestinya tiada maltodekstrin.
“Sebagai syarikat tempatan, kami akan pastikan kami memberi pilihan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia. Farm Fresh sering mengajak pengguna untuk sentiasa peka dengan bahan-bahan dalam produk makanan atau minuman yang mereka pilih kerana kami percaya kesihatan kita bergantung kepada apa yang kita makan,”katanya di sini, hari ini.
Tuan Ee berkata, setiap syarikat ingin membuat keuntungan namun Farm Fresh mementingkan etika dalam semua perkara yang dilakukan.
“Jika kami ingin membuat keuntungan lebih, pasti kami akan menambah lebih banyak gula di dalam produk kami kerana harga gula yang rendah.
“Namun begitu, kami nekad untuk terus memberi yang terbaik kepada rakyat Malaysia, dengan harga yang masih berpatutan. Kami yakin produk choco Malt ini akan mendapat sambutan dan menjadi pilihan rakyat Malaysia,”katanya.
Minuman choco Malt ini merupakan produk tenusu dalam format susu tepung kedua Farm Fresh selepas mereka memperkenalkan susu tepung rumusan Farm Fresh Grow yang dibuat khusus untuk anak-anak berumur satu hingga enam tahun.
Susu tepung ini turut mendapat sambutan yang hangat oleh ibu bapa. Pengenalan choco Malt ini selari dengan usaha Farm Fresh untuk terus memberi rakyat Malaysia produk yang berkualiti tinggi.
Menurut Azmi dan Loi, Farm Fresh akan terus berusaha untuk mengembangkan perniagaan tenusu mereka dengan terus memperkenalkan lebih banyak produk baharu dan menambah lebih banyak ladang dan lembu di masa akan datang dengan hasrat menjadi salah satu jenama lokal yang mampu untuk menyokong Malaysia dalam memastikan keterjaminan makanan 'food security' di negara ini dan tidak bergantung dengan produk import.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!