Warga emas direman disyaki rogol anak jiran OKU

Suspek (kiri) tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Kemaman.
Suspek (kiri) tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang pekerja ladang ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes merogol anak jirannya yang merupakan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) berusia 11 tahun dalam kejadian di Jabor, dekat sini.

Tahanan reman terhadap suspek berusia 63 tahun itu dibenarkan Mahkamah Majistret Daerah Kemaman bermula Isnin.

Terdahulu, suspek yang memakai baju berwarna cerah tiba di pekarangan mahkamah sekitar kira-kira jam 9.23 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, suspek ditahan di sebuah rumah sekitar mukim Hulu Jabor, di sini kira-kira jam 5 petang pada Ahad.

Menurutnya, perbuatan warga emas itu terbongkar selepas mangsa yang belajar di sebuah sekolah di Kuantan enggan pulang ke rumah dan menceritakan kejadian itu kepada gurunya.

"Selepas mendengar cerita murid berkenaan, guru tersebut segera memberitahu ibu mangsa sebelum wanita warga Indonesia itu membuat laporan polis.

"Mangsa yang merupakan OKU lembam itu mendakwa telah dirogol sebanyak empat kali sejak empat bulan lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Ahad.

Hanyan berkata, suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman pada Isnin bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana jenayah rogol.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan dikenakan hukuman sebatan.

"Selain Seksyen 376 Kanun Keseksaan, suspek juga akan disiasat di bawah kesalahan jenayah amang seksual," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!