Kontena bawa produk kekacang dari India diarah patah balik
PELABUHAN KLANG - Sebuah kontena yang masuk membawa produk kekacang dari India di Pelabuhan Utara, di sini, diarah berpatah balik selepas dikesan mengandungi serangga perosak.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Shamsul Akbar Sulaiman berkata, arahan berpatah balik itu dibuat pada Isnin.
Menurutnya, pemeriksaan pegawai Maqis mendapati kontena itu membawa muatan keluaran pertanian produk kekacang iaitu turmeric frits, mysdore dhall, toor dhall, green peas, moong dhall dan mochai yang dianggarkan seberat 19 tan metrik.
"Nilai dianggarkan RM150,271.22 yang diimport dari negara India ini mengandungi serangga perosak (sitophilus zeamais) di dalam kontena tersebut.
"Konsainan terbabit telah ditolak kemasukannya dan Jabatan Maqis telah mengarahkan konsainan tersebut dihantar pulang ke negara asal," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kemasukan tumbuhan dan hasilannya bersama dengan perosak adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengimport barangan dengan perosak, penyakit atau bahan cemar.
Katanya, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Jelasnya, pihak Maqis akan sentiasa komited memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke dalam Malaysia bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.
"Ini penting agar tidak menjejaskan sektor pertanian, penternakan dan makanan negara di samping mematuhi aspek kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan, ikan dan kesihatan makanan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!