Pemandu lori warga emas maut tersepit

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang pemandu lori maut kerana tersepit di antara rak besi dan lori di sebuah kilang pembuatan di sini, pada Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 64 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa merupakan pemandu lori di kilang tersebut.

"Sebelum kejadian, dikatakan telah menghidupkan enjin lori tersebut dengan hanya membuka pintu lori tanpa memasuki ruang pemandu.

"Lori berkenaan telah bergerak ke hadapan sebaik sahaja mangsa menghidupkan enjin dan mengakibatkannya tersepit di antara lori dan rak besi yang berada bersebelahan kenderaan berat itu. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Hairozie berkata, notis pemberhentian serta merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

"Jabatan juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian, langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada Jabatan.

"JKKP Pulau Pinang akan menjalankan siasatan susulan selepas mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan saksi yang dikenalpasti. Satu lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan juga akan diambil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, majikan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.

"Ini bagi menghapuskan atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan.

"Jabatan memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor. Jabatan sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!