Tiada kebakaran baru dikesan di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung

Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung dikesan terbakar pada tengah hari Ahad. Gambar kecil: Kon Yeow
Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung dikesan terbakar pada tengah hari Ahad. Gambar kecil: Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Tiada kebakaran baharu dikesan di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung di Nibong Tebal selepas ia dilaporkan terbakar pada tengah hari Ahad.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sehingga malam Ahad, kebakaran di tapak pelupusan sampah itu berada dalam keadaan terkawal.

"Saya diberitahu, Exco bertanggungjawab telah mengeluarkan satu kenyataan berhubung kejadian tersebut pada malam tadi.

"Perkembangan terkini yang saya perolehi setakat ini adalah, tiada kebakaran baru dikesan namun kerja pemantauan masih dijalankan di kawasan terbabit," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hari Eksport Pulau Pinang 2024 di sini, pada Isnin.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye mengesahkan kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada cuaca panas yang berlarutan dan bereaksi dengan sampah di tapak tersebut.

Katanya, setakat jam 11 malam Ahad, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya di kawasan yang terlibat kira-kira 3,500 meter persegi itu.

Tapak pelupusan sampah itu pernah terbakar pada Januari 2022 membabitkan kawasan seluas lebih 8,000 meter persegi.

Kebakaran di tapak pelupusan sampah itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 31 Januari selepas 20 hari terbakar.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, tapak pelupusan sampah Pulau Burung diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas kawasan kebakaran di situ mencemari kawasan sekitar dan berisiko terhadap kesihatan.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah memulakan perbincangan mengenai Perjanjian Pengurusan Awam 2007 (Akta 672) dengan kerajaan Pusat.

Kon Yeow berkata, akta itu perlu diselarikan sama ada ia boleh diterima pakai atau tidak di peringkat kerajaan negeri.

"Kita sudah mulakan perbincangan, sama ada terima atau tidak di Pulau Pinang, ia tertakluk kepada rundingan kita.

"Keputusan akan dimuktamadkan dalam tahun ini, dalam beberapa bulan lagi," tambah Kon Yeow.

Mac lalu, Kerajaan Pulau Pinang bersetuju untuk berbincang berhubung Perjanjian Pengurusan Awam 2007 (Akta 672) setelah tiada sebarang perbincangan dibuat berhubung perkara itu sebelum ini.

Ini kerana, menurut Kon Yeow, Kerajaan tidak pernah mempunyai inisiatif untuk mengadakan perbincangan dengan negeri yang belum menerima pakai akta berkenaan.

Ketika ini, tujuh negeri mengguna pakai Akta 672 iaitu Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Akta itu untuk memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawal seliaan perkara berhubungan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap, mampan, efektif serta merancakkan ekonomi kitaran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!