Program Perantis IWK perkasa golongan belia
SHAH ALAM - Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah menjalankan program Perantis IWK buat graduan baharu dan siswazah tahun akhir bagi memperkasakan golongan belia dan mendorong mereka ke arah kemampanan alam sekitar.
IWK dalam satu kenyataan berkata, program yang diadakan dengan dengan kerjasama NK Communications PLT itu menyediakan kemahiran insaniah dan nilai-nilai kepimpinan di samping dapat belajar mencipta kempen media sosial yang menjadi salah satu komponen komunikasi penting dalam kerjaya.
"Program yang berlangsung selama lima hari ini telah menggabungkan aspek teori, praktikal, kemahiran kerja berkumpulan, dan latihan fizikal.
"Kesemua peserta telah melalui pembelajaran teori dalam bilik darjah serta penerapan aspek praktikal bagi memahami proses rawatan kumbahan.
"Ia telah dikendalikan oleh Pengarah NK Communication yang juga juruhebah radio, Natalie Kniese bersama jurulatih bertauliah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), Lalitha Muthusamny," katanya pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IWK,Narendran Maniam berkata, program itu bukan sahaja untuk meraikan tiga dekad perkhidmatan IWK tetapi juga bermatlamat membangunkan modal insan dan memupuk minat dalam memelihara kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, program Perantis IWK merupakan salah satu cabang inspirasi daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat IWK yang digelar IWK Cares, bertumpu kepada tiga tonggak utama iaitu alam sekitar, komuniti dan pendidikan.
“Kami percaya program Perantis IWK dapat membantu memperkasakan golongan muda serta memberi peluang kepada mereka untuk bersedia dalam menghadapi alam pekerjaan. Saya berbangga dengan komitmen dan usaha yang ditunjukkan oleh semua peserta.
"Kesemua peserta Perantis IWK bukan sahaja melalui latihan yang disediakan tetapi juga mereka bersaing untuk merebut tiga hadiah utama berupa wang tunai bernilai RM1,000 dan peluang pekerjaan atau latihan industri di IWK," jelasnya
Beliau memberitahu,kumpulan terbaik dimenangi oleh Purrfect Duo yang dianggotai oleh Lew Bay Sin dan Naida Sofea Mohd Noorhazli.
"Manakala Networker terbaik dimenangi oleh Irwan Ibrahim dan kumpulan yang memenangi aktiviti cabaran fizikal ialah IWK Youth terdiri daripada Eng Jin Cherng, Irwan Ibrahim dan Alia Nurmaisarah Hairil Anuar," ujarnya.
Sementara itu, pemenang Perantis IWK, Bay Sin dan Naida Sofea berpendapat, latihan serta kemahiran yang telah dijalankan memberi pengalaman baharu kepada semua peserta.
Katanya, mereka bukan sahaja dapat menimba banyak pengetahuan mengenai sistem pembetungan dapat menyertainya secara percuma.
"Kami merasa amat bertuah kerana mendapat peluang sebegini dan saya amat berharap agar pihak IWK dapat meneruskan Perantis IWK lagi bagi tahun akan datan, agar lebih ramai generasi muda mendapat manfaatnya,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!