[VIIDEO] Ibu didakwa dera anak dirujuk ke Hospital Bahagia
KEMAMAN - Seorang wanita diarahkan untuk menjalani pemantauan kesihatan mental atas pertuduhan melakukan penganiayaan dengan mencederakan anak perempuannya dalam kejadian pada 13 Julai lepas.
Hakim Wan Suhaila Mohd mengeluarkan arahan itu terhadap tertuduh, Norulhuda Sufia Muda, 26, di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.
Beliau menetapkan keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali meminta supaya tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia.
Menurut Syairah, ini kerana tertuduh didapati berada dalam keadaan tidak stabil.
"Pengakuan dibuat oleh tertuduh dalam mahkamah kali ini setelah kes dipanggil sebanyak dua kali dan juga mengambil kira siasatan terhadap tertuduh dalam kes ini, pihak pendakwaan memohon pada mahkamah supaya tertuduh dihantar untuk pemeriksaan di bawah Seksyen 342 kanun Tatacara Jenayah bagi penilaian mental.
"Bagaimanapun ia tertakluk kepada arahan makhamah selanjutnya," ujarnya.
Berdasarkan kepada hujah tersebut, Wan Suhaila kemudiannya berkata, tertuduh didapati kurang stabil dan perlu menjalani pemantauan di Hospital Bahagia.
Sebelum itu, tertuduh mengaku bersalah sebanyak dua kali, namun ditolak mahkamah setelah membuat penilaian awal terhadap keadaannya sepanjang prosiding berlangsung.
Ketika prosiding dijalankan, tertuduh dilihat menangis selain tidak memahami pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim menyebabkan prosiding berkenaan ditangguh sebanyak dua kali.
Mengikut pertuduhan, Norulhuda Sufia telah melakukan penganiayaan terhadap anak perempuannya yang berusia lima tahun lapan bulan dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.
Tertuduh didakwa telah menarik rambut dan kepala, mengangkat badan mangsa serta menghayunkan badan keluar dari tingkap sehingga ke atas tanah.
Norulhuda Sufia didakwa telah melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Air Jabor Kubur, di sini kira-kira jam 2 petang pada 13 Julai lepas.
Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali manakala tertuduh diwakili Peguam, Akmal Wahidah Abd Halim dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!