Veteran ATM digesa daftar VIBES 2.0
SUNGAI PETANI - Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digesa berdaftar melalui Veteran Integrated Benefit System (VIBES 2.0) yang menyediakan pelbagai kemudahan sekali gus mengelakkan dari ketinggalan menerima manfaat menerusi perkembangan teknologi digital.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Datuk Zambery Jefry Darus berkata, VIBES 2.0 merupakan aplikasi mudah alih yang perlu didaftarkan oleh setiap veteran.
Menurutnya, melalui sistem pangkalan data baharu tersebut, keupayaan pengurusan, pemantauan, pelaporan maklumat veteran dan waris akan lebih berkesan.
"Saya sarankan susah macam mana pun, bagi lah anak cucu tolong daftar dan kemas kini VIBES termasuk veteran pencen dan tidak berpencen supaya segala manfaat, faedah, kebajikan, pelajaran anak-anak, nak mohon rumah baru, baiki rumah, mohon apa sahaja termasuk peralatan perubatan dan sebagainya ada dalam 'online' sahaja lepas ini.
"Jadi satu perubahan yang perlu diikuti (veteran) kerana dunia berubah, teknologi berubah dan cara penyampaian berubah," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Veteran Komando Malaysia Zon Utara ke-18, di Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari di sini pada Sabtu.
Menurut Zambery, pada masa hadapan, VIBES boleh digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk daftar masuk hospital, manfaat pendidikan anak tanggungan dan pembelian barangan di premis kedai yang turut sama mengambil bahagian dalam memberikan potongan diskaun kepada veteran.
"Aplikasi ini boleh digunakan secara sepenuhnya pada suatu ketika nanti apabila kita tidak lagi menggunakan kad (pesara) secara fizikal,"katanya.
Difahamkan, setakat ini, seramai 619,581 veteran direkodkan telah berdaftar menggunakan sistem VIBES 2.0 manakala 88,187 direkodkan telah meninggal dunia.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa JHEV mampu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada veteran tentera dan tanggungan menerusi VIBES 2.0.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, hebahan maklumat pelbagai kemudahan, permohonan, semakan status permohonan, semakan faedah persaraan, tarikh jadual pencen, bantuan kebajikan, kemaskini maklumat peribadi dan waris, tuntutan perubatan serta pengurusan persatuan veteran boleh didapati dalam sistem tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!