[VIDEO] Protes Bangladesh: Rakyat Malaysia dibawa pulang esok

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengaktifkan pelan evakuasi untuk membawa pulang rakyat Malaysia termasuk 124 pelajar di Dhaka, Bangladesh pada Selasa susulan ketegangan yang kian memuncak.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi kelulusan supaya perancangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari negara itu disegerakan.

"Perkara (rusuhan) ini tidak akan selesai dalam masa terdekat dan kita putuskan untuk bawa pulang rakyat Malaysia," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Isnin.

Mohamad pada sidang akhbar di Wisma Putra pada Isnin.
Mohamad pada sidang akhbar di Wisma Putra pada Isnin.

Menurutnya, penerbangan khas menggunakan pesawat AirAsia A330 dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka jam 10 pagi Selasa.

"Pesawat akan berlepas pulang pada hari sama sebaik sahaja urusan penerbangan selesai," ujar beliau.

Mohamad berkata, seramai 139 pelajar disahkan berada di negara itu dan 15 daripadanya telah selamat pulang.

"Setakat hari ini seramai 124 pelajar yang masih berada di sana cuma, seorang pelajar di Chittagong Medical College tidak akan dibawa pulang kerana berada jauh dari tempat rusuhan dan Konsul Terhormat telah memberi jaminan keselamatan terhadapnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, setakat ini seramai 192 rakyat Malaysia telah berdaftar dengan STM Dhaka.

"Angka tersebut akan bertambah kerana difahamkan masih ada yang belum berdaftar.

"Kami juga baru menerima makluman seramai 10 orang rakyat kita yang bekerja sebagai juruterbang bersama keluarga mereka berada di negara itu memohon untuk kembali ke tanah air dalam pelan evakuasi ini.

"Kita jangka bilangan rakyat Malaysia yang menyertai pelan evakuasi ini akan bertambah pada saat akhir," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad memohon semua pihak agar bertenang dan tidak menokok nambah terhadap usaha kerajaan membawa pulang rakyat dari negara itu.

Jelas beliau, Wisma Putra telah berhubung dengan STM Dhaka sejak hari pertama rusuhan berlaku bagi mendapatkan perkembangan terkini di sana.

"Dari hari pertama Wisma Putra berurusan dengan STM Dhaka dan saya sendiri berurusan setiap hari," katanya.

Menjawab dakwaan Wisma Putra lambat bertindak, beliau menafikan perkara itu.

"Semuanya di bawah pengawasan pihak kedutaan dan makanan juga telah sampai kepada pelajar pada pagi ini," katanya.

Ditanya adakah pejabat STM Dhaka ditutup sementara susulan evakuasi itu, Mohamad berkata, semua premis di seluruh Bangladesh dikenakan perintah berkurung sejak Sabtu lalu.

"Bagaimanapun pegawai STM Dhaka masih berada di sana. Hanya ahli keluarga mereka yang pulang," katanya.

Terdahulu Mohamad meluangkan masa bertemu dengan ahli keluarga pelajar di pejabatnya.

Demonstrasi yang berlangsung sejak 1 Julai itu menyaksikan 133 orang terbunuh dalam protes membantah pengenalan semula sistem kuota perkhidmatan awam.

Mahkamah Agung Bangladesh pada Ahad memutuskan bahawa 93 peratus daripada semua pelantikan penjawat awam akan dibuat berdasarkan merit berkuat kuasa serta-merta dengan lima peratus diperuntukkan kepada keturunan veteran perang kemerdekaan 1971 dan dua peratus kepada orang daripada kaum minoriti atau kurang upaya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!