Pulau Pinang kekal negeri pengeksport utama

Kon Yeow (tujuh dari kiri) dan Reezal (lapan dari kiri) bergambar bersama semua penerima Skim Pinjaman Harapan Pulau Pinang di Majlis Perasmian Hari Eksport Pulau Pinang 2024 pada Isnin.
Kon Yeow (tujuh dari kiri) dan Reezal (lapan dari kiri) bergambar bersama semua penerima Skim Pinjaman Harapan Pulau Pinang di Majlis Perasmian Hari Eksport Pulau Pinang 2024 pada Isnin.
A
A
A

BAYAN BARU - Pulau Pinang kekal sebagai negeri pengeksport utama dalam negara apabila mencatatkan kedudukan pertama bagi jumlah eksport dengan sumbangan sebanyak 30.5 peratus iaitu RM434.74 bilion ke atas jumlah eksport negara pada 2023.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jumlah itu mengatasi kesemua 12 negeri di negara ini.

Menurutnya, sejak Januari sehingga Mei tahun ini, Pulau Pinang telah merekodkan jumlah eksport berjumlah RM177.99 bilion dengan peningkatan sebanyak 3.9 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2023.

"Sebagai tambahan, nisbah perdagangan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pulau Pinang turut berkembang yang mana, ia membuktikan keterbukaan negeri terhadap perdagangan antarabangsa secara keseluruhan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hari Eksport Pulau Pinang 2024 di sini pada Isnin.

Sementara itu, dalam ucapannya, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jumlah eksport negara telah melepasi RM1 trilion selama tiga tahun berturut-turut.

"Eksport negara meningkat sebanyak 3.9 peratus kepada RM731.11 bilion dalam enam bulan pertama tahun ini, manakala lebihan dagangan bernilai RM66.12 bilion dalam tempoh tersebut.

Kon Yeow (tiga dari kiri) menyerahkan cek replika kepada salah seorang penerima Skim Pinjaman Harapan Pulau Pinang di Majlis Perasmian Hari Eksport Pulau Pinang 2024 pada Isnin.
Kon Yeow (tiga dari kiri) menyerahkan cek replika kepada salah seorang penerima Skim Pinjaman Harapan Pulau Pinang di Majlis Perasmian Hari Eksport Pulau Pinang 2024 pada Isnin.

"Berdasarkan data Matrade, daripada jumlah 13,018 syarikat yang berdaftar dengan Matrade, 958 adalah dari Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah ini, sebanyak 786 atau 82 peratus adalah perusahaan mikro, kecil dan sederhana manakala selebihnya adalah syarikat peringkat pertengahan dan syarikat tempatan besar," katanya.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk memberi tumpuan kepada pembentukan lebih banyak syarikat peringkat pertengahan di seluruh negara.

"Terdapat 1,000 syarikat peringkat pertengahan di negara ini tetapi syarikat-syarikat ini memberi manfaat kepada lebih 9,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

"Di Pulau Pinang, terdapat 637 syarikat peringkat pertengahan dan daripada jumlah ini, 292 terlibat dalam eksport. Syarikat peringkat pertengahan menyumbang lebih banyak kepada pasaran pekerjaan dengan limpahan kepada PKS tempatan," katanya.

Reezal menambah, syarikat multinasional mungkin telah membawa masuk pelaburan namun sesetengah daripada mereka membawa pekerja ekspatriat manakala syarikat peringkat pertengahan biasanya mengambil pekerja daripada kalangan orang tempatan.

Dalam pada itu, mengenai eksport negara, beliau berkata, Malaysia tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada pasaran tradisional.

"Kita seharusnya melihat kepada pasaran baru yang muncul seperti di Afrika Utara dan Timur Tengah.

"Saya berharap kerajaan akan meneliti insentif untuk menggalakkan penembusan ke pasaran baru ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!