'Demo Rakyat Lawan Anwar': Peguam dipanggil rakam keterangan

Muhammad Rafique
Muhammad Rafique
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali dipanggil ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan ucapannya ketika himpunan 'Demo Rakyat Lawan Anwar’ di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, pada 29 Jun lalu.

Muhammad Rafique berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar telah menghubunginya berkaitan satu laporan polis dan diminta hadir ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan pada Isnin.

"Tiga anggota polis dari IPD Kangar telah merakam keterangan saya selama 45 minit bermula jam 12 tengah hari di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman," katanya pada sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Muhammad Rafique berkata, beliau telah memberikan kerjasama kepada polis dan mahu menjawabnya di mahkamah.

"Saya tidak lari daripada polis dan memberikan kerjasama sepenuhnya, sebanyak 12 atau 13 soalan telah ditanya dalam proses rakaman percakapan itu," katanya.

Beliau berkata, telefon bimbitnya turut dirampas bagi membantu siasatan.

"Saya telah beri segala maklumat, tiada masalah telefon bimbit itu dirampas.

"Saya disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhammad Rafique berkata, sebelum ini, seramai 12 individu termasuk penganjur himpunan itu telah tampil ke IPD Putrajaya bagi membantu siasatan.

"Saya juga telah dipanggil (untuk dirakam keterangan) dan memberi kerjasama di IPD Putrajaya," ujarnya.

Pada 30 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan seramai 12 individu termasuk penganjur akan dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung himpunan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, kesemua individu yang telah dikenal pasti itu akan dipanggil dalam masa terdekat.

Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!