Pembantu kedai makan didakwa miliki pistol tiruan, ambil dadah

Tertuduh (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Isnin.
Tertuduh (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pembantu kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas dakwaan memiliki pistol tiruan dan mengambil dadah.

Tertuduh, Zul Eizman Syafeeq Suhainin, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan ke atasnya itu dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati dalam jagaannya memiliki selaras pistol tiruan di dalam bilik sebuah rumah dekat Kampung Ladang Sehat di sini kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 18 Julai lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh mengaku tidak waras ketika kejadian dan memohon menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tampin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 15 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan kedua, Zul Eizman Syafeeq didakwa dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana telah memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine ke dalam badannya.

Kesalahan itu dikesan dilakukan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dekat sini jam 2.30 petang pada hari yang sama.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan menjalani pengawasan polis sehingga tempoh tiga tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 oleh seorang penjamin sebelum menetapkan 30 September depan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!