Kilang proses durian bakal dibina di Jelebu
SEREMBAN - Sebuah kilang memproses durian bagi tujuan pengeksportan akan dibina di daerah Jelebu dalam tempoh lima tahun dari sekarang.
Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perbincangan ke arah itu sedang dilakukan pihaknya bagi memastikan ia dapat dilaksanakan.
"Di daerah ini mempunyai dusun durian daripada pelbagai jenis seperti musang king, tekka, black thorn, IOI, dan D24, yang berkualiti.
"Dalam tempoh lima ke enam tahun nanti, Insya-ALLAH Jelebu akan jadi satu daerah pengeluaran durian berkualiti yang memadai mempunyai kilang memproses durian bagi tujuan pengeksportan.
"Semua itu dalam proses perbincangan," katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Institusi Pendidikan MARA 2024 Negeri Sembilan di sebuah pasar raya di sini pada Isnin.
Menurutnya, bagi membantu pekebun durian untuk mendapatkan buah yang lebih berkualiti bagi tujuan itu, satu program latihan penanaman durian akan diadakan.
Ujarnya lagi, beliau juga akan mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya melaksanakan projek tanaman durian di kawasan Perbadanan Menteri Besar (MBI).
"Saya akan berbincang dengan Menteri Besar untuk kenal pasti beberapa kawasan MBI untuk dibuat program atau projek awal bagi tanaman durian yang mana ia juga boleh jadi tarikan pelancong.
"Orang kata kalau kita mempunyai bekalan berlebihan, harganya akan jatuh.
"Jadi bermula dari sekarang kita perlu mempunyai perancangan bagaimana untuk eksport durian kita supaya dapat pasaran lebih baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!