Cadangan rumah untuk generasi Orang Asli sudah dikemuka

Saarani (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan dan insentif kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia sempena Program Santuni Masyarakat Orang Asli dan Simposium Batin 2024 di Galasa Caldwell di sini pada Isnin.
Saarani (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan dan insentif kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia sempena Program Santuni Masyarakat Orang Asli dan Simposium Batin 2024 di Galasa Caldwell di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan persekutuan menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk menyediakan peruntukan khusus bagi membina rumah baharu untuk masyarakat Orang Asli.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembinaan rumah baharu itu dilihat sebagai keperluan mendesak khususnya buat generasi kedua di perkampungan Orang Asli.

Menurutnya, sebelum ini memang ada bantuan membina rumah baharu disediakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada waktu tersebut terutama kepada Orang Asli yang didaftarkan di dalam sistem e-Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Ia (bantuan rumah bina baharu) bergantung kepada peruntukan kewangan sebab sebelum ini memang ada bantuan bina rumah baharu oleh KKLW kepada masyarakat Orang Asli yang namanya ada dalam e-Kasih. Jadi rumah itu pun sudah lama dibuat dan sekarang dikatakan untuk generasi kedua pula.

"Jumaat lepas Datuk Mohd Zolkafly Harun (Exco Kerajaan Negeri Perak) mewakili kerajaan negeri dalam Majlis Perundingan Orang Asli JAKOA, kita sebut perkara itu sebab ia keperluan bagi masyarakat Orang Asli untuk mendapat rumah yang selesa," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Program Santuni Masyarakat Orang Asli dan Simposium Batin 2024 di Galasa Caldwell di sini pada Isnin.

Saarani (berdirI) turut mengambil kesempatan menyantuni tok batin yang hadir sempena Program Santuni Masyarakat Orang Asli dan Simposium Batin 2024 di Galasa Caldwell di sini pada Isnin.
Saarani (berdirI) turut mengambil kesempatan menyantuni tok batin yang hadir sempena Program Santuni Masyarakat Orang Asli dan Simposium Batin 2024 di Galasa Caldwell di sini pada Isnin.

Sementara itu, Saarani berkata, semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menjalankan aktiviti di dalam kawasan perkampungan Orang Asli di negeri ini perlu mendapat kebenaran daripada pegawai daerah.

Menurutnya, ia ditetapkan sebagai langkah keselamatan memandangkan pegawai daerah bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Amalan biasa mana-mana NGO yang nak memberi perkhidmatan di dalam perkampungan masyarakat Orang Asli, mereka kena terlebih dahulu mendapat kebenaran pegawai daerah dan pegawai daerah akan memantau kalau-kalau ada perkara-perkara yang di luar daripada tujuan asal khidmat sukarela itu.

"Memang ada berlaku (NGO laksana aktiviti di luar daripada tujuan asal) bukan tak ada, sebab itu mereka ini dikehendaki terlebih dahulu melaporkan dan mendapatkan kebenaran daripada pegawai daerah," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani mengalu-alukan lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan NGO untuk menyertai usaha membangunkan perkampungan Orang Asli di negeri ini dalam memastikan komuniti berkenaan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Menurutnya, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan pelbagai pihak untuk masyarakat Orang Asli termasuklah projek pelancongan di Lata Kinjang oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Program pendidikan dan ekopelancongan di Kampung Air Bah oleh Yayasan Bambusa, projek penjagaan alam sekitar di Kampung Tonggang oleh Global Environment Centre, projek air bersih di Sungai Siput oleh Malaysian Relief Agency dan program latihan perundingan dan pemasaran di Kampung RPS Kemar oleh MARA Liner.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!