KPM siasat majlis sekolah melibatkan syarikat minuman keras

Kementerian Pendidikan. Foto fail Bernama
Kementerian Pendidikan. Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan (KPM) menyiasat laporan berhubung majlis kutipan dana di sebuah sekolah yang melibatkan syarikat minuman keras.

Menerusi kenyataan pada Isnin, KPM menegaskan pentadbir institusi di bawah kementerian perlu mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

"Kementerian mengalu-alukan usaha sekolah untuk menganjurkan program dan mendapatkan sumbangan bagi tujuan pembangunan selaras dengan inisiatif Sekolah Milik Masyarakat, namun ini perlu dilaksanakan berdasar kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018.

"Ia melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi serta jasmani," katanya.

Tambah kementerian itu, pihaknya sentiasa proaktif menangani gejala sosial dalam kalangan generasi muda.

"Pelbagai program kesedaran, pendidikan dan pencegahan dianjurkan di sekolah bertujuan untuk memberi bimbingan kepada murid," ujar KPM.

Jumaat lalu, tular sekeping gambar program penganjuran majlis kutipan dana di sebuah sekolah melibatkan syarikat pengeluar minuman keras.

Ia turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Mohamad Sabu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!