United sudah sedia cabar semua piala - Onana
PENJAGA gol Manchester United, Andre Onana menyifatkan United sudah bersedia mengharungi musim yang lebih baik dan menegaskan pasukan itu akan berjuang untuk segala-galanya pada musim depan.
United meraih kemenangan 2-0 ke atas Rangers dalam aksi persahabatan pada Sabtu sekali gus memberikan persiapan yang baik menjelang kunjungan ke Amerika Syarikat untuk Jelajah 2024.
“Ia sangat mengujakan, bukan sahaja untuk perlawanan akan datang dalam pramusim tetapi untuk perlawanan lain. Ia akan menjadi sukar tetapi kami bersedia dengan baik dan ia akan menjadi sangat bagus.
"Kami akan berjuang untuk segala-galanya tahun ini. Musim lalu kami sudah tahu apa yang berlaku dan sudah tentu kami berakhir dengan sangat baik tetapi ia adalah musim yang sukar untuk kami semua. Jadi tahun ini, perkara yang baik akan memihak kami," katanya kepada MUTV.
Onana membuat penampilan pertamanya dalam pramusim menentang Rangers dan merupakan satu-satunya pemain yang melengkapkan 90 minit di Edinburgh, mengambil alih lilitan kapten daripada Casemiro pada separuh masa kedua.
“Sangat bagus, saya gembira dapat kembali dan pasukan bekerja keras.
“Kami berdepan lawan yang sangat bagus dan saya gembira dengan kemenangan selain cara kami bermain.
"Masih jauh lagi perjalanan dan saya sangat gembira. Adalah penting untuk bermula dengan baik dan berjuang untuk segala-galanya. Tahun ini, ia akan menjadi sangat baik untuk kami jadi kami bersedia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!