Bangladesh: Pelajar desak kerajaan keluar notis kuota baharu
DHAKA/ISTANBUL - Perintah berkurung di Bangladesh memasuki hari ketiga berturut-turut pada Isnin selepas para pelajar mendesak kerajaan mengeluarkan notis rasmi mengenai kuota baharu bagi perkhidmatan awam.
Pemimpin pelajar yang terlibat dalam gerakan antikuota berkata, kerajaan perlu mematuhi perintah Mahkamah Agung untuk mengurangkan kuota perkhidmatan awam kepada tujuh peratus, termasuk lima peratus untuk keluarga veteran perang, lapor Agensi Anadolu.
Sebelum ini, kuota 56 peratus dalam perkhidmatan awam mencetuskan protes besar-besaran dalam kalangan pelajar, menyebabkan pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dan kerajaan.
Sejak minggu lalu, jumlah kematian akibat demonstrasi meningkat kepada 143 orang manakala ribuan lagi cedera, menurut sumber kesihatan.
Kerajaan memutuskan jaringan internet jalur lebar dan mudah alih pada Khamis serta mengenakan perintah berkurung di seluruh negara pada malam Jumaat.
Perintah berkurung masih dikuat kuasa sehingga kini.
Bagi meredakan kemarahan pelajar, kerajaan membawa kes ke Mahkamah Agung pada Ahad.
Mahkamah memerintahkan pentadbiran Perdana Menteri Sheikh Hasina untuk mengurangkan kuota kepada tujuh peratus dalam perkhidmatan awam.
Namun, para pelajar mendakwa bahawa arahan rasmi mengenai keputusan itu masih belum dikeluarkan.
Protes menentang sistem kuota 56 peratus meningkat minggu lepas, menyebabkan kerajaan menutup institusi pendidikan sebagai tindak balas.
Sebanyak 30 peratus daripada kuota 56 peratus perkhidmatan awam diperuntukkan untuk keluarga veteran perang kemerdekaan 1971.
Susulan sekatan internet, aliran maklumat dari Bangladesh telah berkurangan dan kebanyakan media tempatan tidak dapat mengemas kini laman sesawang mereka. - Bernama-Anadolu
@sinarharianonline Bangladesh: Pelajar desak kerajaan keluar notis kuota baharu Muzik: Theatre of Delays - Black Sea - No Drums Version #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #BuletinTikTok #Global #Bangladesh #Protes #Pelajar #Kuota #PerkhidmatanAwam
original sound - Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!