Jaja Iliyes jaga nama kerana arwah abah
KELIBAT wanita kecil molek ini dalam beberapa drama popular barangkali bukan asing lagi, tetapi tatkala menyebut nama Jaja Iliyes, tidak ramai sebenarnya yang peka siapa empunya gerangan.
Hakikatnya, sudah hampir lapan tahun Jaja atau nama sebenarnya Siti Hajar Iliyes berkecimpung sebagai pelakon sebaik menjadi finalis Drama Festival Kuala Lumpur pada tahun 2016.
Namun, nasibnya tidak sebaik rakan lain yang mungkin lebih dikenali ramai, wanita yang bakal menginjak ke usia 29 tahun tidak lama lagi lebih selesa menjadikan kerjaya anak seni sebagai keutamaan berbanding kisah peribadi.
Malah sehingga kini, graduan Diploma Teater dan Animasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu masih memegang kejap amanah dan nasihat ibu tercinta untuk terus menjaga nama keluarga dan maruah diri.
“Sejak awal saya membuat keputusan untuk menyertai dunia seni, keluarga tidak pernah menghalang. Cuma umi ada pesan, jaga diri, batas dan nama keluarga.
“Umi juga mahu saya terus jaga nama abah walaupun sudah 27 tahun arwah meninggalkan kami semua.
“Meskipun abah sudah lama tiada, sebagai anak, saya perlu jaga nama baiknya yang sebelum ini dikenali sebagai seorang arkitek dan mempunyai imej baik,“ katanya yang sentiasa merasakan arwah ayahnya masih ada di sisi sehingga kini.
Jaja berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Dajal di Wisma MIG, Petaling Jaya baru-baru ini.
Tampak pemalu dan sopan orangnya, tambah Jaja, meskipun tidak terlalu dikenali ramai, beliau sama sekali tidak merasa ralat mahupun kecewa.
Ini adalah kerana, beliau menyertai industri seni kerana minat mendalam dan bukannya untuk mengejar populariti semata-mata.
“Tidak dinafikan bila bercakap mengenai dunia seni, orang akan kaitkan dengan populariti dan glamor. Cuma secara peribadi, saya lihat bidang ini sebagai sumber rezeki yang telah tertulis untuk diri ini.
“Jadi, saya tidak melihat populariti itu sebagai keperluan. Asalkan pihak produksi, pengarah dan penonton menyukai hasil kerja saya,“ jelasnya yang mengimpikan untuk membawa pulang trofi suatu hari nanti.
Biarpun dilihat semakin berani untuk keluar dari zon selesa dengan bermain watak yang lebih gelap, Jaja berkata, beliau tidak akan menerima watak yang dirasakan tidak bersesuaian dengan dirinya.
Tegas wanita itu, beliau bukan dalam kategori pelakon tangkap muat tetapi berani untuk mencuba.
“Sebelum ini, saya sering diberi tawaran watak yang baik, lemah-lembut tetapi baru-baru ini pengarah dan penerbit memberi kepercayaan untuk membawakan watak antagonis iaitu sebagai penyondol.
“Setiap kali mendapat tawaran, saya akan lihat dulu ia sesuai atau tidak. Kalau tak sesuai, saya tidak akan terima.
“Walaupun membawakan watak yang daring seperti penyondol, saya masih lagi meletakkan batas dan menjadikan pembentukan karakter sebagai satu cabaran,“ katanya yang akan membawakan satu lagi karakter gelap dalam filem Dajal yang diarahkan oleh Pierre Andre.
Bercerita lanjut mengenai filem itu, Jaja berkata, beliau memegang watak sebagai Maisarah, seorang penuntut berkarakter misteri yang akan menjadi pencetus segalanya.
“Kalau ikutkan babak saya tak banyak, tetapi abang Pierre sudah beri gambaran bagaimanapun perjalanan filem itu dan saya masih mengkaji perwatakan yang sesuai untuk Maisarah.
“Teruja juga untuk bekerja dengan abang Pierre sebab sebelum ini, saya akan berpeluang menonton filem lakonan atau arahannya sahaja,“ ujar anak ketiga daripada tiga beradik itu.
Ambivert
Sementara itu, ditebak mengenai desas-desus yang mengatakan Jaja Iliyes seorang yang sombong dan sukar didekati, bintang 7 Hari Mencintaiku serta Ash dan Aish itu tidak menafikannya.
Bagaimanapun jelas Jaja, ia hanya pandangan pertama bagi individu yang belum pernah bertegur atau berbual dengannya.
Pun begitu, beliau tidak menafikan dirinya seorang ambivert (mempunyai karakter introvert dan ekstrovet). Ada ketikanya, beliau lebih selesa bersendirian terutama apabila berada dalam kalangan orang ramai.
“Bila dikelilingi orang ramai yang tidak kenal, saya lebih selesa duduk jauh sebab ada rasa gemuruh. Dalam masa sama, saya rasa bila kita terlalu banyak bergaul pun akan ada positif dan negatif. Boleh berkawan, tetapi ada batasnya.
“Apa pun, saya cuba berubah untuk menjadi seorang yang lebih ekstrovet,“ ujarnya mengakhiri perbualan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!