Kutipan dana wakaf tunai cecah RM12.8 juta

Mohd Na'im ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Negara pada Isnin.
Mohd Na'im ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Negara pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kutipan dana wakaf tunai sepanjang tempoh 2022 sehingga Mei 2024 berjumlah RM12.8 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kutipan menerusi Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) itu merupakan sumbangan daripada masyarakat dan syarikat korporat melalui potongan gaji atau secara sekali beri.

"Statistik kutipan wakaf tunai menunjukkan trend meningkat iaitu daripada RM67.19 juta pada 2020 kepada RM106 juta pada 2022.

"Walau bagaimanapun, statistik hasil wakaf harta tidak dapat disediakan kerana maklumat ini tertakluk kepada persetujuan dan kesediaan semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk berkongsi data berkenaan," katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mengenai statistik hasil wakaf harta dan wakaf tunai sepanjang 2022 hingga 2024 serta langkah kerajaan mengawal selia pembangunan tanah wakaf.

Dalam pada itu Mohd Na'im menjelaskan, kerjasama antara agensi Persekutuan dan negeri turut dilaksanakan dalam pengurusan aset wakaf negeri yang melibatkan perkhidmatan pengurusan aset oleh YWM.

Menurutnya, kerjasama tersebut telah menghasilkan pendapatan kasar berjumlah RM22.8 juta sepanjang tempoh 2022 hingga Mei 2024.

"Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) merupakan pemegang amanah bagi semua harta wakaf di Wilayah Persekutuan di bawah Seksyen 61 Akta Pentadbiran Undang-Undang (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).

Artikel Berkaitan:

"Sehingga Jun tahun ini, MAIWP telah menguruskan 89 lot (64.67 ekar) hartanah wakaf yang terdiri daripada 64 lot wakaf khas dan 25 lot wakaf am.

"MAIWP menguruskan 38 buah premis hartanah wakaf sedia ada yang terdiri daripada 23 buah rumah bertanah, sebuah rumah berstrata, tiga lot kedai dan sebuah bangunan komersial," jelasnya.

Selain itu beliau berkata, MAIWP turut menguruskan 51 lot tanah melibatkan 21 lot tanah kosong, tapak masjid (12 lot), tapak surau atau madrasah (sembilan lot), tapak perkuburan (lima lot) dan tapak sekolah (empat lot).

"Kerajaan sentiasa menunjukkan komitmen menerusi penyediaan peruntukan pembangunan dalam setiap Rancangan Malaysia," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!