Henti sebar maklumat tidak tepat - Polis Johor

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Kumar
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Kumar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor giat mengesan kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang di sebuah pusat perniagaan di Iskandar Puteri pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, semua pihak diminta memberi ruang kepada polis untuk mencari Albertine Leo Jia Hui, 6.

"Pihak polis sedang mempergiatkan usaha mengesan mangsa. Berikan ruang untuk polis menjalankan siasatan.

"Sekiranya ada perkembangan yang sewajarnya perlu dikongsi, maka akan dimaklumkan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Kumar bagaimanapun enggan mengulas sebarang dakwaan tular di media sosial berhubung kehilangan kanak-kanak perempuan itu termasuk ada yang mendakwa melihat kanak-kanak perempuan itu berada di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Dalam pada itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa orang ramai yang menemui kanak-kanak itu atau mempunyai maklumat boleh segera melaporkan di balai polis berhampiran.

Beliau turut berkongsi hantaran yang tular itu dalam platform media sosial rasminya dalam usaha membantu mengesan kanak-kanak berkenaan.

"Saya terima laporan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun hilang pada 20 Julai lalu pada pukul 8.30 malam akibat terpisah daripada keluarga ketika acara Bon Odori di Eco Galleria, Iskandar Puteri.

Artikel Berkaitan:

"Polis sedang berusaha mencari dan mengesan kanak-kanak tersebut. Saya juga memohon orang ramai yang mempunyai maklumat atau menemui kanak-kanak tersebut untuk lapor segera ke balai polis berhampiran," katanya.

Pada Ahad, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan memberitahu, kali terakhir kanak-kanak itu dilihat berpakaian baju T berwarna putih dengan gambar 'Mickey Mouse' pada bahagian dada dan berseluar pendek.

"Lokasi terakhir kanak-kanak berusia enam tahun itu dikesan adalah di Eko Galleria 3, Jalan Eko Botani 3/2, Taman Botani,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!