25 mangsa lapor polis dakwa ditipu syarikat pelaburan tidak wujud
BAYAN LEPAS - Seramai 25 mangsa membuat laporan polis terhadap sebuah syarikat yang menawarkan skim pelaburan tidak wujud selepas mendakwa mereka ditipu kira-kira RM5 juta sejak 2018.
Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Bayan Lepas pada petang Isnin.
Peniaga, Ruzianzan Ibrahim, 40, berkata, dia menggunakan wang simpanannya sebanyak RM40,000, namun hanya menerima pulangan selama enam sahaja berjumlah RM6,000.
Dia yang berasal dari Kampung Melayu berkata, dia terjerumus dengan skim pelaburan tidak wujud itu selepas diperkenalkan oleh rakannya pada 2018.
"Kawan saya ajak saya pergi ke ceramah pelaburan oleh sebuah syarikat dan apabila saya mendengar penjelasan daripada pengarah syarikat tersebut, saya menjadi tertarik dan berminat untuk melabur.
"Pada peringkat pertama, saya melabur RM10,000 dan selepas mendapat pulangan RM1,000 setiap bulan selama enam bulan, saya menjadi semakin yakin dengan syarikat berkenaan.
"Saya kemudiannya melabur lagi RM30,000," katanya ketika ditemui di hadapan Balai Polis Bayan Lepas pada Isnin.
Ruzianzan menambah, selepas menambah wang pelaburan, dia langsung tidak menerima sebarang pulangan sehingga ke hari ini.
"Ini kali pertama saya buat laporan polis kerana sebelum ini, saya hanya memantau kes melibatkan syarikat ini.
"Apabila mendapat tahu si pelaku telah dibebaskan tanpa dilepaskan, saya jadi tak puas hati," katanya.
Sementara itu, surirumah, Shahrija Nagore, 54 berkata, dia diajak oleh kontraktor yang mengubah suai rumahnya untuk menyertai pelaburan tersebut dengan pelbagai janji manis.
Menurutnya, dia melabur RM45,000 wang pusaka arwah suaminya dengan syarikat tersebut sejak 2018 sehingga 2020.
"Saya tertarik dengan ajakan kontraktor itu kerana ketika itu, saya tiada pekerjaan dan berstatus ibu tunggal. Selain itu, saya perlu menanggung dua anak yang masih bersekolah.
"Apabila saya mendengar pelawaan itu, saya meraskan ini lah rezeki ALLAH untuk saya. Saya melabur RM10,000 dahulu untuk permulaan dan kemudiannya menambah lagi RM35,000," katanya.
Lebih mengecewakan, dia menerima jawapan yang tidak wajar daripada wakil syarikat tersebut setiap kali dia bertanyakan tentang wang pulangan.
"Sehingga kini, saya tak dapat satu sen pun daripada syarikat berkenaan. Apabila saya tanya, wakil syarikat tanya saya balik, kenapa, bila tak dapat duit ni, dunia nak kiamat ka?
"Saya amat kecewa dengan syarikat ini kerana tergamak menipu saya yang tidak berstatus ibu tunggal tanpa mempunyai pekerjaan.
"Sebab itu saya buat laporan kali kedua kerana mahu pihak bertanggungjawab menerima balasan daripada apa yang mereka lakukan," katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, seramai 50 mangsa dikenal pasti di Pulau Pinang melibatkan kerugian sehingga RM10 juta.
Menurutnya, sehingga kini, jumlah keseluruhan mangsa yang membuat aduan di bawah MHO adalah 90 orang dari Kuala Lumpur dan Johor dengan kerugian RM20 juta.
"Syarikat tersebut menawarkan skim pelaburan dengan konsep hutang dan pelabur diminta untuk menandatangani perjanjian dengan syarikat tersebut.
"Bagaimanpun, pelaburan itu tidak sah kerana tidak mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti," katanya.
Hishamuddin menambah, kesemua mangsa membuat laporan polis selepas tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang membebaskan tanpa melepaskan suspek.
"Sebelum ini, pengarah dan pegawai pemasaran syarikat tersebut telah didakwa di mahkamah pada 2021.
"Bagaimanapun, kedua-duanya telah dibebaskan tanpa dilepaskan oleh mahkamah kerana ada pengadu yang telah menarik balik laporan kes berkenaan.
"Kita bimbang sekiranya trend menarik balik laporan polis berkaitan kes ini terus berlaku ia akan sebabkan kes terhadap pengarah dan pegawai pemasaran syarikat tersebut digugurkan dan dalang kes ini menjadi orang yang bebas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!