Mekanik ditahan bersama syabu bernilai RM700,000
BENTONG - Seorang mekanik ditahan bersama lebih 21 kilogram dadah jenis syabu di kawasan parkir Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah di sini pada 18 Julai lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan kira-kira jam 12 tengah hari ketika berada dalam kereta jenis Honda Jazz.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kereta digunakan, pihak polis menemui dan merampas 20 bungkusan plastik berisi dadah jenis syabu dalam beg yang diletakkan di tempat duduk penumpang belakang.
"Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM700,000 itu dipercayai diperoleh dari Lembah Kelang untuk pasaran tempatan.
"Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang dipercayai turut menjual alat ganti kenderaan itu menjadikan tapak parkir di situ sebagai transit aktiviti pengedaran dadah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini pada Isnin.
Yahaya berkata, polis turut merampas sebuah motosikal yang ditemui hasil pemeriksaan ke atas rumah suspek di Lembah Klang.
"Suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Hasil semakan ke atas suspek mendapati lelaki itu turut memiliki rekod lampau berkait kes dadah," katanya.
Tambah beliau, susulan penahanan suspek itu, pihak polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah didalangi warga tempatan yang dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini.
"Siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan ada individu turut terlibat dalam kegiatan haram itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!