Dewan Negara lulus RUU berkait insurans dan keselamatan pekerja
KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Negara pada Isnin meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), berkaitan sistem insurans pekerjaan dan keselamatan sosial pekerja yang bertujuan menambah baik hak serta kebajikan golongan pekerja di negara ini.
RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024 dan RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024 itu, masing-masing diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Ketika menggulung perbahasan RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024, Steven berkata, RUU itu merupakan salah satu usaha kementeriannya ke arah memperkasakan jaringan dengan perlindungan sosial, institusi kekeluargaan dan memacu reformasi pasaran buruh negara.
Beliau berkata, pindaan itu melibatkan kenaikan had maksimum kebolehinsuranan amaun siling gaji pekerja daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan.
"Peningkatan siling gaji ini akan menambah baik faedah perlindungan keselamatan sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Akta 800, yang akan menjamin kesejahteraan sosial penerimaan faedah dengan manfaat sedia ada,” katanya.
Steven berkata, bagi gaji seorang pekerja melebihi RM5,000 dan RM6,000, setiap syer majikan dan pekerja untuk sebulan kadar caruman baharu adalah antara 20 sen sehingga RM2, bergantung kepada gaji serta diyakini bukanlah angka yang terlalu membebankan kerana kenaikan itu akan menambah lebih 20 peratus faedah dinikmati kepada 1.5 juta warga pekerja kelak.
"Sistem insurans pekerjaan ini adalah untuk memastikan jika malang tidak berbau seperti kehilangan pekerjaan akibat penutupan dan sebagainya, maka mereka ada satu jaringan keselamatan dan pindaan ini akan memastikan pekerja ini bukan sahaja menikmati jaringan keselamatan sosial, tapi juga mendapat tambahan lebih 20 peratus faedah,” katanya.
Bagi RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024 pula, Steven berkata, ia bertujuan untuk meminda Seksyen 5 serta Jadual Ketiga dan Keempat Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), yang perlu dilakukan mengambil kira isu semasa termasuk peningkatan kos sara hidup, yang menuntut faedah terhadap pekerja terutama yang bergaji RM5,000 ke atas juga harus ditingkatkan.
"Faedah yang diterima oleh mereka (pekerja bergaji lebih RM5,000) pada masa ini terhad kepada pengiraan setakat RM5,000 sahaja. Jadi untuk memberikan peningkatan ini (faedah) maka kita terpaksa naikkan caruman.
"Ada suara-suara dan pandangan dari Ahli Dewan ini tentang bebanan yang mungkin dirasai, sama ada majikan atau pekerja dalam aspek meningkatkan caruman, tetapi kita (kerajaan) ingin melakukannya secara berhemah dan saya rasa walaupun ada kenaikan caruman tetapi angkanya munasabah dan mampu dibiayai,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!