Nahas di Pasir Puteh: Kanak-kanak 3 tahun mangsa kedua meninggal dunia

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

PASIR PUTEH - Anak kepada wanita yang maut dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kampung Kandis, di sini, pada awal pagi Isnin, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria, berkata, kanak-kanak terbabit, Che Nuur Zarith Eyzaraa Sofhea Che Mohd Hasmie, 3, yang cedera parah di kepala meninggal dunia jam 9.40 pagi, hari sama ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh.

Dalam kejadian 6.40 pagi itu, ibu kanak-kanak terbabit, Siti Fairuz Mustaffa, 36, terkorban di lokasi kejadian.

Kata Zaizul Rizal, sebelum kejadian, dua beranak berkenaan bersama anak saudara Siti Fairuz yang berusia 18 tahun menaiki kereta jenis Perodua Viva dari arah Machang menghala ke Pasir Puteh.

“Siasatan mendapati, kereta dipandu Siti Fairuz dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum berlaku pelanggaran dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Corolla Cross dipandu oleh wanita berusia 30 tahun.

“Akibat dari kemalangan tersebut, Siti Fairuz tersepit dalam kenderaan dan maut di lokasi kejadian manakala anaknya meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, pada Isnin.

Menurut beliau, anak saudara perempuan Siti Fairuz pula mengalami kecederaan parah dan dirawat di hospital sama.

“Pemandu SUV Toyota Cross hanya mendapat kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan masih diteruskan dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, boleh salurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh atau balai-balai berdekatan,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!