Peniaga enggan jual barang kawalan dikenakan tindakan

Penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksaan sebelum mengambil tindakan terhadap peniaga sebuah premis runcit di sini yang didapati enggan menjual barang kawalan, gula bertapis kasar dan minyak masak polibeg sekilogram.
Penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksaan sebelum mengambil tindakan terhadap peniaga sebuah premis runcit di sini yang didapati enggan menjual barang kawalan, gula bertapis kasar dan minyak masak polibeg sekilogram.
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga dikenakan tindakan kerana enggan menjual barang kawalan, gula bertapis kasar dan minyak masak polibeg sekilogram di sebuah premis runcit di sini pada Isnin.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, pemeriksaan dilakukan kira-kira jam 10 pagi berdasarkan aduan awam yang mendakwa sukar membeli gula dan minyak masak di premis berkenaan.

Menurutnya, pasukan penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemantauan di premis tersebut dengan menyamar sebagai pelanggan untuk membeli dua barang kawalan itu.

"Bagaimanapun pekerja premis tersebut memaklumkan barang kawalan tersebut telah kehabisan stok.

"Susulan itu, pemeriksaan lanjut telah dibuat di dalam premis berkenaan dan menemui 192 kilogram (kg) gula bertapis kasar dan 34 kg minyak masak polibeg sekilogram disimpan di dalam premis," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Jezlily berkata, tindakan sitaan telah dibuat ke atas gula dan minyak masak bernilai RM632 selain beberapa dokumen perniagaan untuk siasatan.

Gula bertapis kadar antara barang kawalan yang disita.
Gula bertapis kadar antara barang kawalan yang disita.

"Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 16A(1)(b) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana enggan menjual barang kawalan iaitu gula bertapis kasar dan minyak masak polibeg sekilogram bersubsidi," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, mana-mana pihak sama ada individu atau syarikat berkaitan diingatkan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

"Pihak yang didapati melakukan kesalahan itu boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan bagi individu, didenda tidak lebih RM1 juta.

"Bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Menurutnya, bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

"Para pengguna dialu-alukan untuk sama-sama membantu menjadi mata dan telinga kementerian bagi melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga melalui pelbagai medium penyaluran aduan yang telah disediakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!