Ikram tegur Alif Teega, Aisyah Hijanah
SHAH ALAM - Pasangan suami isteri pempengaruh yang ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini sepatutnya memberi nasihat dan menjauhkan orang ramai daripada melalui proses tersebut.
Ia susulan tindakan Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, atau lebih dikenali Alif Teega dan isterinya Aisyah Hijanah Azhari, 26 berkongsi pengalaman mereka ditahan reman dengan wajah gembira menerusi siaran langsung di platform TikTok baru-baru ini.
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, perbuatan pasangan tersebut dibimbangi memberi kesan dan pengaruh buruk terhadap persepsi masyarakat kepada badan penguatkuasa.
“Janganlah pula digembar-gemburkan macam pengalaman kena siasat dan sebagainya itu seolah-olah sesuatu pengalaman menggembirakan dan tidak ada hal.
“Itu pun tidak betul juga kerana sepatutnya ia memberikan pengajaran, nasihat kepada orang ramai supaya tidak ikut melakukan perkara-perkara yang melanggar undang-undang negara, supaya orang lain tidak perlu melalui proses seperti itu.
“Sepatutnya kita jauh dari proses (kena siasat) itu, bukan sengaja letakkan diri dalam proses itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, tindakan tindakan Alif Teega dan Aisyah berkongsi pengalaman mereka ketika ditahan reman SPRM menerusi siaran langsung di TikTok mendapat kecaman dalam kalangan netizen susulan reaksi mereka yang gembira sewaktu menceritakan perkara tersebut.
Dalam pada itu, ujar Badlishah, sebagai pempengaruh, mereka perlu sedar bahawa setiap perbuatan yang dilakukan akan menjadi ikutan oleh orang ramai terutamanya generasi muda.
Menurutnya, penahanan mereka sepatutnya dijadikan sebagai iktibar kepada masyarakat, bukannya sebagai galakkan.
“Isu seperti ini saya harap mereka terutamanya pempengaruh ini memberikan contoh yang baik, bawa masyarakat ke arah baik dan membaiki nilai-nilai dalam masyarakat.
“Maknanya sama-sama membangunkan masyarakat yang sihat, sejahtera, aman damai dan progresif, bukannya masyarakat yang dibina atas nilai-nilai yang buruk,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!