Saksikan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 secara langsung

Abdul Fatah
Abdul Fatah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anggota Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di luar Lembah Klang boleh mengikuti Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 secara langsung selama dua hari menerusi saluran Facebook, YouTube dan Zoom organisasi itu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fatah Abdullah berkata, ia bagi memberikan kemudahan kepada anggota seluruh negara mengikuti kongres yang buat kali pertama diadakan di Pusat Dagang Dunia (WTC) pada 25 dan 26 Julai ini.

"Kami menyasarkan lebih 15,000 anggota seluruh negara akan menyertai kongres ini. Pautan bagi menyertai siaran langsung ini ada di http://angkasa.coop.

"Penganjuran program ini bertujuan untuk membincangkan beberapa isu dan cabaran termasuk dari segi jati diri, ekosistem serta kelestarian koperasi," katanya ketika sidang media Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di WTC di sini pada Isnin.

Abd Fatah (kanan) ketika sidang media Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di WTC di sini pada Isnin.
Abd Fatah (kanan) ketika sidang media Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di WTC di sini pada Isnin.

Menurutnya, kongres tersebut bakal menjadi medan untuk koperasi negara membincangkan isu, inisiatif serta hala tuju baharu dalam memperkasakan peranan gerakan berkenaan membantu kerajaan dan mendepani cabaran semasa.

Ujar beliau, ia juga sebagai platform bagi menyelaras semula strategi koperasi supaya ia menjadi penyumbang utama pembangunan ekonomi sosial negara.

"Sejak kali terakhir kongres koperasi diadakan 53 tahun lalu, pelbagai perubahan dalam landskap ekonomi negara dan global telah berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Pembaharuan perlu dilaksanakan dengan segera supaya gerakan koperasi mampu untuk terus relevan dan berdaya saing dalam pasaran terbuka," katanya.

Jelas Abdul Fatah, gerakan koperasi secara keseluruhan telah berjaya melangkaui sasaran perolehan oleh kerajaan sebanyak RM60 bilion menjelang 2025 dengan jumlah sebanyak RM64.6 bilion disumbangkan berakhir tahun 2023.

Ujarnya lagi, perkara tersebut secara tidak langsung menunjukkan kemampuan koperasi untuk kekal relevan dan berdiri teguh walaupun berdepan dengan kesan pandemik serta ketidaktentuan ekonomi yang telah melumpuhkan banyak perusahaan.

"Bagaimanapun atas sokongan dan usaha pemimpin serta anggota, koperasi terus bergerak ke hadapan serta berjaya melangkaui sasaran ditetapkan kerajaan.

"Pada masa sama, kongres ini turut melihat kepada sistem sokongan kewangan daripada pihak kerajaan bagi memastikan koperasi mempunyai akses kepada dana yang mencukupi.

"Ia termasuklah pembiayaan, geran dan insentif yang dapat membantu koperasi berkembang serta bersaing dalam ekonomi mencabar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!