PM setuju percepat dana awal RM100 juta Tabung Wakaf Mara

Anwar (tengah) setuju untuk mempercepatkan penyaluran dana awal RM100 juta kepada Tabung Wakaf Mara Madani yang dicadangkan Asyraf Wajdi dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera pada Isnin.
Anwar (tengah) setuju untuk mempercepatkan penyaluran dana awal RM100 juta kepada Tabung Wakaf Mara Madani yang dicadangkan Asyraf Wajdi dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk mempercepatkan penyaluran dana awal sebanyak RM100 juta kepada Tabung Wakaf Mara Madani.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia akan dilaksanakan sebaik pihaknya mendapat kelulusan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai Mutawalli.

"Tabung Wakaf Mara ini penting untuk dimanfaatkan bagi membantu pelajar-pelajar dalam kalangan Melayu-Bumiputera yang susah dan keluarga berpendapatan rendah.

"Alhamdulillah, Perdana Menteri setuju untuk mempercepatkan penyaluran dana awal RM100 juta kepada Tabung Wakaf Mara Madani setelah Mara mendapat kelulusan MAIWP sebagai Mutawalli," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau mencadangkan pelaksanaan tabung berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera berlangsung hari ini, dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Menurut Asyraf Wajdi, dengan inisiatif tersebut, ia dapat membantu lebih ramai pelajar susah dan kurang berkemampuan.

Pada Majlis Penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 Mac lalu, Anwar mengumumkan penubuhan Tabung Wakaf Mara Madani dengan geran peluncuran berjumlah RM100 juta serta menyasarkan dana terkumpul RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

Perdana Menteri berkata, sistem wakaf itu akan diterajui Mara dan dilaksanakan oleh Yayasan Pelajaran Mara, selari dengan hasrat penubuhan agensi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi turut menerima maklum balas mengenai kesukaran pelajar untuk mengeluarkan perbelanjaan awal untuk masuk ke Institusi Pendidikan Mara (IPMA) sehingga terpaksa mengikat perut sepanjang pengajian.

Ujarnya, ia berikutan lebih 70 peratus daripada pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), GiatMara, kolej-kolej Mara dan banyak lagi datang daripada kalangan keluarga B40, M40, miskin dan berpendapatan rendah.

“Sebab itulah saya cadangkan Tabung Wakaf Mara yang boleh diikhtiarkan untuk mengumpulkan dana wakaf yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan membantu pelajar-pelajar yang susah.

“Ia juga mampu membuka peluang untuk alumni atau bekas pelajar dalam ekosistem Mara yang sudah berjaya dan mahu kembali menyumbang kepada Tabung Wakaf Mara untuk manfaat orang lain pula,” katanya lagi dalam ruangan komen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!