Wanita hilang selamat pulang ke pangkuan keluarga

Noraziah selamat pulang ke pangkuan keluarga selepas dilaporkan hilang sejak 15 Julai lalu.
Noraziah selamat pulang ke pangkuan keluarga selepas dilaporkan hilang sejak 15 Julai lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang wanita berusia 25 tahun yang dilaporkan hilang sejak 15 Julai lalu telah selamat pulang ke pangkuan keluarganya pada Isnin.

Difahamkan, Noraziah Abd Manaf hadir sendiri ke Balai Polis Batu Berendam, Melaka, kira-kira jam 12 tengah malam sebelum pihak polis menghubungi keluarganya di Seremban.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, hasil maklumat awal wanita berkenaan dikatakan keluar dari rumah keluarganya di Taman Seremban Jaya, di sini, untuk mencari pekerjaan.

"Sebelum ini kami menerima laporan polis mengenai kehilangannya pada 15 Julai lalu di Balai Polis Senawang.

"Kemudian kami dimaklumkan wanita ini dilihat di Taman Merdeka Jaya, Melaka pada 17 Julai. Kisah mengenai kehilangan gadis ini turut tular di media sosial," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurutnya, berdasarkan petunjuk berkenaan, pihaknya dengan bantuan Kontinjen Melaka cuba mengesan wanita terbabit di negeri itu, namun tidak berjaya.

Tambahnya, dia juga gagal dihubungi kerana nombor telefon bimbitnya didapati tidak aktif.

"Bagaimanapun, kira-kira jam 12 tengah malam tadi dia hadir ke Balai Polis Batu Berendam.

Artikel Berkaitan:

"Polis sudah menghubungi keluarga dan difahamkan dia sudah pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat. Daripada maklumat diperoleh, dia keluar mencari pekerjaan di Melaka," katanya.

Sebelum ini tular seorang wanita menghilangkan diri dan kejadian itu didakwa menyebabkan ibunya koma dan terpaksa dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!