Kerajaan rencana transformasi, hala tuju baharu agenda bumiputera - Anwar

Anwar mempengerusikan Mesyuarat MEB Bilangan 2 Tahun 2024 pada Isnin. Foto Anwar Ibrahim
Anwar mempengerusikan Mesyuarat MEB Bilangan 2 Tahun 2024 pada Isnin. Foto Anwar Ibrahim
A
A
A
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah membincangkan dengan teliti kerangka dan inisiatif-inisiatif dalam memberi anjakan penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera selari dengan aspirasi Ekonomi Madani.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 2 Tahun 2024 yang dipengerusikan sendiri oleh beliau pada Isnin.

"Sewaktu mempengerusikan mesyuarat itu hari ini, tumpuan terarah kepada perencanaan transformasi dan hala tuju baharu agenda bumiputera untuk sedekad ke hadapan," katanya menerusi catatan pada laman sosial X beliau.

Menurut beliau, sokongan agensi kerajaan termasuk Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) masih diperlukan melalui penyelarasan, pengukuhan pendekatan dan sokongan penggunaan teknologi baharu yang didasari mandat penubuhan mereka.

Selain itu, beliau turut menegaskan keperluan supaya inisiatif-inisiatif yang dirangka, turut dipanjangkan manfaatnya kepada kumpulan masyarakat lain yang turut memerlukan. - Bernama
Artikel Berkaitan:


Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!